20 PATI dipenjara empat bulan

0

KE PENJARA: Semua tertuduh diiringi ke kenderaan Jabatan Imigresen untuk dihantar ke Penjara Pusat Miri.

MIRI: Seramai 20 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk empat wanita dalam tiga kes berasingan dijatuhi hukuman penjara empat bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini petang semalam atas kesalahan masuk ke negeri ini secara haram.

Mahkamah turut memerintahkan semua tertuduh dihantar pulang ke negara asal masing-masing sebaik selesai menjalani hukuman penjara.

Semua tertuduh, 12 daripadanya merupakan rakyat Indonesia serta lapan rakyat Filipina berusia antara 18 hingga 70 tahun didakwa mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) dan dihukum mengikut Ssksyen 6 (3) akta yang sama.

Mengikut kesalahan ini, mereka boleh dikenakan hukuman penjara lima tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali serta boleh disebat sehingga enam kali jika sabit kesalahan.

Berdasarkan kes pertama, sekitar jam 1.15 pagi, pada 19 Mac lalu sepasukan pegawai penguat kuasa disertai pelbagai agensi dan diketuai Presely Geoffrey Joseph selaku Timbalan Penolong Pengarah Imigresen menjalankan Operasi Bersepadu di Lorong Pujut 5D, di sini.

Dalam operasi itu, mereka menahan dua lelaki warga Filipina untuk tujuan pemeriksaan kerana dipercayai warga asing.

Semasa diperiksa, kedua-dua tertuduh gagal menunjukkan sebarang dokumen perjalanan sah membenarkan mereka memasuki dan tinggal di sini.

Manakala dalam kes kedua, bertindak atas maklumat sekitar jam 1.40 pagi, pada 19 Mac lalu, sepasukan pegawai penguat kuasa melakukan operasi sama di Kampung Batu 1, Kuala Baram di sini menangkap enam warga Filipina terdiri dua lelaki dan empat wanita termasuk seorang nenek berusia 70 tahun kerana kesalahan masuk secara haram.

Sementara dalam kes ketiga, seramai 12 lelaki warga negara Indonesia turut diberkas dalam operasi sama sekitar jam 1 pagi, pada 20 Mac lalu sebuah ladang di Batu Niah.

Hasil siasatan mendapati semua tertuduh masuk ke negeri ini tanpa mempunyai suatu dokumen perjalanan yang sah.

Hakim Marutin Pagan turut memerintahkan semua tertuduh lelaki dikenakan hukuman sekali sebatan.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Muhamad Adnan Marzuki.