Teksi eksekutif enam penumpang dilulus

0

Oleh Clare Cinderella //

Teksi eksekutif di Miri dibenar bawa enam penumpang berbanding empat sebelum ini

MIRI: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan persetujuan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) memberi kelulusan kepada teksi eksekutif di sini untuk kembali beroperasi dengan enam penumpang berbanding arahan empat penumpang sahaja sebelum ini.

Menteri Muda Perhubungan Datuk Lee Kim Shin ketika mengumumkan perkara itu, memberitahu bahawa kelulusan itu diberi kepada teksi ekskutif beroperasi di negeri ini terutama di Miri selepas persetujuan dicapai dengan LPKP, JPJ dan PUSPAKOM yang mempertimbang rayuan penambahan muatan tempat duduk kepada tujuh orang (termasuk pemandu) bagi pemohon diluluskan premit teksi eksekutif sebelum 2014.

“Ini adalah lanjutan Mesyuarat Perbincangan Isu-Isu Teksi Esekutif di Miri pada 26 Disember tahun lalu yang dipengerusikan oleh saya sendiri dan pada mesyuarat itu saya memanggil ahli-ahli persatuan, LPKP, JPJ dan PUSPAKOM membincangkan isu berkaitan.

“Ini kerana arahan dikeluarkan Bahagian Kejuruteraan Automotif JPJ di Putrajaya sebelum ini meminda teksi eksekutif membawa muatan tujuh orang termasuk pemandu dikurangkan kepada lima orang dan dikuatkuasakan ke negeri ini,” jelas Lee.

Bagaimanapun, arahan diberikan kepada kenderaan terutama di Semenanjung Malaysia menggunakan LPG, sebaliknya di Sarawak kenderaan perdagangan tidak menggunakan LPG justeru wajar bagi pengusaha dan pemilik kenderaan memohon agar peraturan tidak dikenakan ke atas mereka (teksi eksekutif) yang beroperasi di negeri ini.

“Saya menyokong rayuan Persatuan Teksi Eksekutif Miri memohon agar diberi kelonggaran itu memandangkan rayuan mereka pada Jun tahun lalu tidak diendahkan, maka saya memanggil mesyuarat khas pada 26 Disember membincangkan isu berkenaan. “Oleh kerana arahan dikeluarkan ibu pejabat JPJ di Putrajaya mengambil masa kelulusan itu dibuat dan kita bersyukur kerana akhirnya JPJ menerima permohonan tersebut dan pada 13 Mac lalu, surat kebenaran rasmi sudah dikeluarkan dan dihantar kepada Persatuan Teksi Eksekutif,” katanya pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan JPJ Miri, LPKP dan PUSPAKOM di sini semalam.

Lee berkata beliau gembira kerana usahanya mendapatkan kelulusan itu berjaya dan berharap semua pemilik teksi eksekutif jenis Toyota Innova mematuhi peraturan melakukan pemeriksaan khas di PUSPAKOM dan kemudian membawa bersama dokumen pemeriksaan bersama kad pendaftaran asal kenderaan mereka untuk dikemukakan kepada JPJ dan LPKP dalam tempoh tiga bulan (dari tarikh 13 Mac).

Sebanyak 10 teksi eksekutif berdaftar dan beroperasi menggunakan kenderaan jenis Toyota Innova dengan tujuh penumpang termasuk pemandu dan bernaung di bawah Persatuan Teksi Eksekutif Miri.

Semua mereka sudah menyerahkan nama dan butir-butir lengkap untuk permohonan itu pada 10 Februari lalu seperti diarahkan JPJ.

Sementara itu, Lee turut menegur pihak berkaitan supaya memaklumkan kepada beliau setiap perkembangan lebih-lebih lagi isu-isu sedang ditangani beliau termasuk mengenai permohonan sama ada diluluskan atau sebaliknya.

“Dengan itu, saya tahu setiap perkembangan berkaitan sesuatu isu yang sedang ditangani dan diusahakan sekali gus mengelak berlakunya salah faham dan maklumat kurang tepat diterima pihak lain,” jelasnya.

Hadir sama Pemangku Ketua JPJ Bahagian Miri Hassim Keram.