APMM tumpaskan pencerobohan nelayan Vietnam di perairan Miri

0

TANGKAP: Sebahagian nelayan warga Vietnam yang ditahan dalam operasi tersebut kelmarin.

MIRI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim Miri berjaya menumpas satu kegiatan menangkap ikan secara haram di perairan Miri dengan penahanan sebuah kapal nelayan asing bersama 25 kru termasuk seorang tekong.

Ketua Penguat Kuasa Maritim Wilayah Sarawak Laksamana Pertama Maritim Ismaili Bujang Pit berkata, ketika ditahan pada jam 9.30 malam kelmarin, kapal nelayan terbabit yang sarat muatan pelbagai jenis ikan berada pada kedudukan 43 batu nautika dari Miri.

“Hasil siasatan awal mendapati kapal nelayan terbabit didaftar di Vietnam dan tidak mempunyai sebarang permit sah yang membenarkan mereka menangkap ikan di perairan negara,” katanya pada sidang media yang diadakan di sini semalam.

Terdahulu menurut Ismaili, bertindak atas maklumat diterima, pada 6 April lalu, sepasukan pegawai penguat kuasa daripada APMM Daerah Maritim Miri melaksanakan operasi di sekitar perairan Miri.

Katanya dalam operasi sekitar jam 9.05 malam kelmarin, APMM berjaya mengesan sebuah bot nelayan asing disyaki dari Vietnam menangkap ikan di perairan negara.

Semasa dikesan katanya, kru kapal nelayan asing terbabit menaikkan pukat dan melakukan pengasingan ikan.

“Bot itu berjaya kami tahan sekitar jam 9.30 malam untuk tujuan pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat 25 kru berada dalam bot dan disyaki menangkap ikan tanpa permit sah,” ujarnya.

Menurut Ismaili, semua kru kapal berusia antara 18 hingga 56 tahun itu ditahan untuk disoal siasat lanjut.

Manakala kapal tersebut bersama hasil tangkapan pelbagai jenis ikan dianggarkan seberat 8,000 kilogram dirampas untuk dijadikan barang kes.

“Bot nelayan asing itu kemudian dibawa ke Pusat Tahanan Vesel Daerah Maritim Miri bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan dan kesemua 25 kru ditahan mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985,” katanya.

Mengikut kesalahan ini, tekong boleh dikena denda RM1 juta manakala kru boleh didenda RM100,000, jika sabit kesalahan.