Malaysia harap penubuhan Persatuan Baja D-8 jadi kenyataan

0

MIRI: Malaysia berharap cadangan penubuhan Persatuan Baja D-8 (D-8 FA) menjadi kenyataan dengan usahanya selangkah ke hadapan menerusi mesyuarat keempat di Dhaka, Bangladesh pada 3 dan 4 April lalu.

Mesyuarat cadangan itu dipengerusikan Ahli Parlimen Bangladesh Kamrul Ashraf Khan Poton yang juga pengerusi Persatuan Baja Bangladesh.

Ia turut dihadiri Menteri Muda Pertanian Datuk Sylvester Entri Muran dan Ahli Lembaga Pengarah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) Mohd Saharuddin Dan yang mewakili Malaysia.

Mesyuarat keempat bagi mempertimbang pembentukan D8-FA antara negara membangun termasuk Indonesia, Pakistan, Mesir dan Nigeria itu turut dihadiri wakil-wakil dari Malaysia, Bangladesh, Iran dan Turki.

Entri dalam kenyataan medianya di sini kelmarin memberitahu, objektif pembentukan D-8 FA adalah meningkatkan kerjasama negara anggota melalui hubungan perniagaan-untuk-perniagaan (B2B) dalam usaha meningkatkan jumlah dan mempelbagai bidang perdagangan baja.

“Langkah penubuhan persatuan itu menjadi asas bagi penubuhan konsortium perdagangan baja D-8 di kalangan pihak berkepentingan dalam jangka pertengahan sehingga jangka panjang.

“Ahli-ahli dari negara terbabit bersetuju menubuhkan D-8 FA pengeluaran, perdagangan dan kerjasama yang akhirnya menjadi badan pengurusan bersama konsortium tersebut,” tambahnya.

Kerajaan di negara-negara berkenaan digalakkan memudahkan pengeluaran baja dan bahan mentah, perdagangan dan kerjasama dengan mewujudkan keutamaan perdagangan, mengurang atau menghapuskan tarif kastam, memperkenalkan insentif cukai atau insentif lain yang dapat disediakan kerajaan untuk pihak berkepentingan dalam pengeluaran baja D-8.

Sementara wakil negara, Saharudin membentangkan kertas kerja mengenai baja Di-Di-Ammonium Phospate (baja DAP) sebagai satu inisiatif untuk projek usaha sama di kalangan ahli persatuan.

“Ini merupakan projek pertama dilaksanakan oleh anggota-anggota yang memegang kepentingan dalam baja D-8,” jelas Entri.

Mesyuarat itu turut membincangkan cadangan draf negara masing-masing berhubung memorandum persefahaman (MoU) dan draf tataurusan penubuhan Persatuan Baja D-8.

Turut diadakan lawatan ke kilang baja Ghorasal Urea di Narsingdi dianjurkan BFA untuk ahli-ahli berkepentingan pada hari kedua mesyuarat.