Mesyuarat Khas SPR berkaitan PRK Parlimen Rompin 10 April

0

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas berkaitan proses pilihan raya kecil (PRK) kawasan Parlimen Rompin pada Jumaat ini (10 April) yang kosong berikutan kematian penyandangnya Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis.

Setiausaha SPR Datuk Abdul Ghani Salleh berkata mesyuarat yang dijangka dipengerusikan Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof itu akan berlangsung di ibu pejabat suruhanjaya di Menara SPR di sini.

SPR menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Rakyat semalam berhubung kekosongan kerusi Parlimen itu, katanya dalam kenyataan semalam.

Mesyuarat itu akan membincangkan tarikh-tarikh penting seperti tarikh kekosongan kawasan Parlimen itu, hari penamaan calon, hari pengundian awal, hari pengundian biasa dan daftar pemilih yang akan diguna serta persiapan untuk melaksanakan pilihan raya kecil itu, katanya.

Jamaluddin terkorban da-lam nahas helikopter di Semenyih, Sabtu lalu.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 pada Mei 2013, Jamaluddin yang juga Pengerusi Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) mengekalkan kerusi kawasan tersebut yang disandangnya sejak 23 tahun lalu, apabila mengalahkan bekas Ketua Muslimat PAS Pusat Nuridah Mohd Salleh dengan majoriti 15,114 undi. — Bernama