Persela FC bukti keunggulan

0

RAI KEJAYAAN: Pemain Persela FC meraikan kejayaan bersama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sports
Planet, Saiful Bahri (barisan kedua empat kiri) dan Ahmad (tiga kiri) semalam.

KUCHING: Persela FC mengesahkan kejuaraan musim pertama Liga Futsal Kuching (KFL) 2015 selepas mencatat kemenangan terakhir menewaskan Lanoon FC dengan 13-0 di gelanggang futsal Sports Planet pada Ahad lalu.

Ini merupakan kemenangan ke-10 berturut-turut skuad bimbingan Ahmad Media Sharkawi untuk meletakkan mereka gah di puncak carta liga dengan 30 mata.

Lebih manis apabila Persela FC juga muncul satu-satunya pasukan tidak pernah terkalah selepas mengharungi 10 perlawanan.

“Syukur dan syabas saya ucapkan kepada semua pemain di atas kejayaan ini.

Pencapaian ini adalah berkat kerja keras semua pemain termasuk para jurulatih.

“Selain itu, penghargaan juga saya tujukan kepada pihak pengurusan yang banyak memberi sokongan padu kepada pasukan selama ini,” kata Ahmad mengulas kejayaan pasukannya.

Ahmad menjelaskan, kemenangan itu akan menjadi tonik kepada pasukannya untuk bersaing pada musim kedua KFL yang dijangka bermula pada Mei depan.

“Kita akan meningkatkan latihan kerana musim kedua KFL dijangka lebih sengit.

Selain itu, kita juga cuba memastikan semua pemain kekal dalam pasukan ini agar misi mengekalkan kejuaraan musim baharu tercapai,” tambahnya.

Sementara itu, D’Riezza KTT muncul naib juara selepas berjaya mengatasi pencabar terdekat, Cooserv dengan 2-1 dalam perlawanan yang cukup sengit semalam.

D’Riezza KTT mengumpul 19 mata manakala Cooserv dengan 18 mata di tempat ketiga.

Lanoon FC pula menduduki tangga keempat dengan 12 mata diikuti Bandar Selatan (10) dan Neo Nexus (0).

Kemenangan itu membolehkan Persela FC merangkul hadiah wang tunai berjumlah RM3,000, piala iringan dan cenderamata.

D’Ri e z z a KTT pul a menggondol RM2,000, piala iringan dan cenderamata manakala Cooserv meraih RM1,000, piala iringan dan cenderamata.