SEB komited menangani kes kecurian kabel

0

KUCHING: Sarawak Energy Berhad (SEB) menerima laporan tentang kematian yang berlaku di sebuah pencawang miliknya di Matang pada pagi kelmarin (Isnin).

Insiden malang itu dikatakan berpunca apabila lelaki itu terkena renjatan elektrik ketika cuba mencuri kabel kuasa 11,000 volt yang disambungkan kepada satu suis.

Berita tragedi malang itu telah disiarkan di muka depan Utusan Borneo semalam.

“Kami sedih dengan kematian tragis ini, tanpa mengambil kira situasi.

“Walaupun begitu peringatan berterusan akan kami sebarkan melalui media dan mengambil langkah-langkah keselamatan yang perlu untuk membendung kecurian kabel atau vandalisme yang merupakan satu aktiviti berbahaya,” kata Ketua Pegawai Operasi SEB Lu Yew Hung.

Akibat insiden berkenaan bekalan kuasa terjejas selama lebih lima jam bermula dari Taman Sri Matang, Sacofa Sri Matang, Lee Ling 3, Lee Ling 4 dan Lee Ling Villa.

“Pada tahun 2014 sahaja, SEB telah membelanjakan sebanyak RM3.4 juta untuk menggantikan barang yang dicuri akibat kecurian kabel dan vandalisme dan telah meningkatkan langkah-langkah tebatan yang termasuk memperkukuh keselamatan di pencawang dan pemasangan CCTV di kemudahan tertentu.

“Rondaan yang kerap turut dilakukan di kawasan yang sering mengalami kecurian untuk lebih menjamin kemudahan kami, “ tambah Lu.

SEB memberi peringatan berterusan melalui media cetak, kempen radio, pameran, pengedaran risalah dan pergi ke sekolah untuk menerapkan kesedaran dan mendidik orang ramai mengenai bahaya infrastruktur berkenaan dan kemudahan elektrik.

Kecurian kabel adalah satu jenayah yang serius yang boleh menyebabkan kematian atau kecederaan serius, sebagai tambahan kepada gangguan bekalan elektrik, peralatan dan kerugian kewangan.

SEB telah bekerjasama rapat dengan polis untuk membendung gejala ini dalam masyarakat dan setiap kes kecurian dilapor serta disiasat.

Pihaknya ingin merayu kerjasama orang ramai untuk menghentikan kecurian kabel dan logam dengan menghubungi pihaknya di talian 1-300-88-3111 untuk membuat aduan.