SKM Kelantan pantau sindiket tawar dana kepada koperasi

0

KOTA BAHARU: Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Kelantan kini sedang memantau satu sindiket yang menawarkan dana dalam bentuk zakat bernilai jutaan ringgit kepada koperasi.

Pengarahnya, Wan Muhamad Sabri Wan Harun berkata pihaknya mendapati terdapat unsur penipuan di dalam tawaran dana yang kononnya dari Arab Saudi oleh sindiket ini.

“Kita sedang membuat pe-mantauan secara terperinci kerana saya percaya kegiatan ini sedang merebak sehinga ke negeri ini dan perkara ini sangat serius kerana ia melibatkan nilai dana yang besar,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, semalam.

Wan Muhamad Sabri berkata modus operandi sindiket itu adalah dengan menghubungi mana-mana koperasi yang aktif dan memberitahu yang mereka ingin menyalurkan dana bernilai jutaan ringgit kononnya dari Arab Saudi kepada koperasi berkenaan.

Kemudian mereka akan meminta koperasi berkenaan membayar wang komisen sebanyak beberapa peratus dari jumlah dana yang ingin mereka berikan itu dan setelah menerima wang itu mereka akan hilangkan diri,” katanya.

Beliau berkata mana-mana koperasi di negeri ini yang mengetahui atau telah dihubungi oleh sindiket ber-kenaan diminta untuk segera melaporkannya kepada SKM atau Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Kita tidak mahu koperasi di negeri ini tertipu dengan sindiket ini kerana kita tahu mereka memang licik. Setakat ini tiada koperasi di negeri ini yang tertipu.

Dalam perkembangan lain, Wan Mohamad Sabri berkata pihaknya menyasarkan 50 buah koperasi dapat diwujudkan pada tahun ini dan bakal menjadikan jumlah keseluruhan koperasi di Kelantan adalah sebanyak 800 buah.

“Sekarang kita mempunyai 750 buah koperasi di Kelantan dan hampir 90 peratus daripadanya aktif, kita harap angka 800 itu kita akan dapat capai pada tahun ini,” katanya. — Bernama