Angkara orang luar?

0

DITEMUI: Bangkai seekor lagi dipercayai penyu hijau yang ditemui terdampar di pantai Kampung Masjid, Kuala Baram.

PERIKSA: Yusree (dua kanan) bersama wakil MNS (dua kiri) dan Pak Cik Sahari (kiri) di hadapan bangkai ikan lumba-lumba.

Belah perut penyu, bangkai ikan lumba-lumba terdampar dipercayai perbuatan nelayan asing.

Oleh Clare Cinderella //

MIRI: Bangkai tiga ekor penyu dengan kesan belahan di perut serta kepala termasuk bangkai seekor ikan lumba-lumba yang ditemui terdampar di pantai Kampung Masjid, Kuala Baram dekat sini dipercayai perbuatan orang luar.

Ketua Kaum Kampung Masjid, Kuala Baram Yusree Zainuzzaman ditemui semalam memberitahu, bangkai itu ditemui di pantai sejak minggu lepas oleh nelayan pantai dikenali sebagai Pak Cik Sahari Nahar yang memaklumkan kepadanya.

DIBUNUH: Bangkai salah seekor penyu yang sudah dibelah perut dan kepalanya.

“Insiden ini tidak pernah berlaku di kampung ini lebih-lebih lagi melibatkan penyu dan ikan lumba-lumba kerana penduduk tahu ia haiwan terlindung,” katanya kepada Utusan Borneo di sini semalam.

Menurut Yusree, penyu itu dipercayai dibunuh untuk diambil telur atau organ badannya.

“Manakala, bangkai ikan lumba-lumba tidak dapat dikenal pasti punca kematian. Kami menyerahkan kepada pihak berkuasa tempatan untuk melakukan siasatan lanjut,” ujarnya.

Yusree yakin perbuatan itu dilakukan oleh orang luar kerana penduduk setempat atau pengunjung berkelah di situ tidak mungkin bertindak kejam.

“Manakala, nelayan tempatan tahu bahawa penyu dan ikan lumba-lumba ini adalah binatang terlindung sepenuhnya. Bagi nelayan Kampung Masjid, ikan lumba-lumba kerap muncul di perairan ini terutama apabila musim ikan banyak.

“Malah, mereka menjadi ‘rakan nelayan’ dan kerap bermain-main di tepi perahu nelayan,” katanya.

Beliau menjelaskan, jika ternampak ikan lumba-lumba, dugong mahupun penyu tersangkut pada pukat, nelayan lebih rela memotong pukat daripada membunuh atau membiar haiwan itu mati kerana terjerut pada pukat.

“Justeru, nelayan kampung ini turut melahirkan kebimbangan bahawa ia mungkin dilakukan oleh nelayan asing,” katanya sambil menambah, perkara tersebut diakui oleh Pak Cik Sahari yang sudah menjadi nelayan lebih 40 tahun.

“Dahulu banyak penyu bertelur di pantai ini, tetapi sejak kebelakangan ini dan lebih 10 tahun lalu, keadaan ini semakin jarang berlaku,” jelas Yusree.

Justeru, beliau memohon kepada pihak penguat kuasa supaya melakukan pemantauan di kawasan berkenaan bagi mengelak insiden lebih buruk berlaku.

“Kita tidak sanggup dan tidak mahu melihat lebih banyak haiwan tersebut mati terdampar seperti ini sepanjang pantai Kampung Masjid,” katanya semasa mengiringi wakil Persatuan Alam Sekitar Malaysia (MNS) dan wartawan melawat lokasi berkenaan.

Untuk rekod, insiden serupa pernah berlaku awal bulan lepas apabila bangkai 19 ekor penyu hijau ditemui terdampar di pantai Pulau Tiga, Sabah dengan bahagian perutnya turut dibelah.

Tahun lalu, Utusan Borneo Cawangan Sabah melaporkan 60 ekor bangkai penyu turut ditemui di pulau sama.

Kampung Masjid yang terletak di seberang kuala Sungai Baram dan hanya boleh dihubungi menerusi Jambatan ASEAN merupakan perkampungan nelayan dan penempatan paling utara di Bahagian Miri bersebelahan dengan sempadan Malaysia-Brunei.