Cabaran ekstrem Padawan pasti hebat

0

PASTI HEBAT: (Dari tujuh kiri) Lo, Dr Jerip dan Ik Pahon serta yang lain menunjukkan isyarat bagus ketika merakamkan kenangan bersama sebahagian daripada jawatankuasa penganjur dan pelumba, semalam.

BRS dipilih kerana mempunyai banyak laluan ‘off road’ semula jadi yang sukar, uji kepakaran pelumba

KUCHING: Skim Penempatan Semula Bengoh (BRS) yang menjadi lokasi Cabaran Ekstrem ‘Off- Roaders’ 4×4 Antarabangsa Padawan 2015 pada 23 dan 24 Mei depan bakal menjanjikan cabaran yang sukar dilupakan peminat sukan permotoran lasak.

Ia dianjurkan oleh Majlis Perbandaran Padawan (MPP) dengan 60 pasukan melibatkan 600 kru termasuk dari Brunei Darussalam, Thailand, Singapura dan Semenanjung Malaysia telah mengesahkan penyertaan.

Menteri Muda Kesihatan Awam merangkap ADUN Bengoh Datuk Dr Jerip Susil berkata BRS dipilih kerana ia mempunyai banyak laluan ‘off road’ semula jadi yang sangat mencabar dan menguji kepakaran para pelumba.

“Skim Penempatan Semula Bengoh sangat sesuai untuk dijadikan lokasi perlumbaan ini kerana laluan tanahnya yang lasak dan pasti diminati peminat sukan permotoran.

“Saya menyokong penuh perlumbaan ini kerana ia dapat membantu meningkatkan ekonomi penduduk setempat selain menyediakan aktiviti tambahan kepada mereka,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Hadir sama Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan Sarawak Datu Ik Pahon Joyik dan Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) Lo Khere Chiang.

Menurut Dr Jerip, industri inap desa di sekitar Bengoh akan berkembang pesat dengan kehadiran ramai pelancong dari luar yang menyertai perlumbaan tersebut.

Ujarnya, per lumbaan i tu juga member i pel – uang dalam pelancong luar menikmati sendiri keindahan alam semula jadi yang ada di sekitar kawasan Bengoh.

“Perlumbaan ini akan menjadi platform terbaik dalam mengiktiraf Sarawak sebagai destinasi pelancongan sukan utama di negara ini,” tambahnya.

Perlumbaan akan dibahagikan kepada tiga kategori iaitu Kumpulan A (Full Modification), Kumpulan B (Semi Modification) dan Kumpulan C (Standard Production).

Johan bagi Kumpulan A akan menerima RM10,000, trofi pasukan, trofi iringan dan sijil, tempat kedua RM8,000, trofi dan sijil manakala tempat ketiga RM5,000, trofi dan sijil.

Bagi Kumpulan B, johan akan meraih RM8,000, trofi pasukan, trofi iringan dan sijil diikuti RM5,000, trofi dan sijil untuk naib johan dan RM3,000, trofi dan sijil bagi tempat ketiga.

Pemenang Kumpulan C pula akan menggondol RM3,000, trofi pasukan, trofi iringan dan sijil, naib johan RM2,000, trofi dan sijil sementara tempat ketiga RM1,000, trofi dan sijil.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem dijangka merasmikan pembukaan perlumbaan manakala Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg merasmikan penutupan.