Guna wang bantuan kerajaan sebaik mungkin

0

UNTUK ALBUM: Awang Tengah (tujuh kiri) serta tetamu kehormat yang lain merakam kenangan bersama penerima BR1M dan bantuan wang ihsan banjir pada majlis yang diadakan di Lawas semalam.

Wang BR1M bukti keprihatinan kerajaan terhadap masalah yang ditanggung rakyat: Awang Tengah

Oleh Connie Sylvia Mesa //

MIRI: Bantuan kewangan disalur kerajaan bertujuan membantu meringankan beban rakyat dan perlu diguna dengan sebaik mungkin, kata Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Jelasnya, wang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bukti keprihatinan kerajaan terhadap masalah yang ditanggung rakyat.

“Oleh itu, gunakan wang ini dengan betul dan bukannya untuk tujuan lain yang tidak berfaedah,” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian BR1M 2015 dan wang ihsan untuk mangsa banjir di daerah Lawas semalam.

Sejumlah RM239,400 adalah untuk BR1M manakala RM674,000 adalah wang ihsan yang disalur kepada mangsa banjir.

“Semua ini janji kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk meringankan beban ditanggung rakyat terutama selepas fenomena banjir baru-baru ini,” katanya.

Menurutnya, sejumlah 1,138 keluarga terjejas akibat banjir dan setiap keluarga menerima RM500.

Awang Tengah mengingatkan mangsa yang belum mendaftar memohon bantuan supaya berbuat demikian di Pejabat Daerah Lawas sebelum 15 April ini.

“Bantuan BR1M di Lawas melibatkan 10,328 penerima termasuk penerima yang menerima wang melalui akaun masing-masing.

“Manakala mereka yang layak menerima bantuan wang ihsan namun masih tidak dapat atau belum mendaftar, boleh membuat rayuan dan permohonan sehingga 15 April ini,” katanya.

Jelasnya, ketua masyarakat perlu memaklumkan kepada masyarakat setempat supaya segera memohon atau membuat rayuan sebelum tarikh yang dijadualkan.

Awang Tengah turut menyentuh mengenai Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan mahu rakyat memahami pelaksanaannya melalui saluran betul bagi mengelak kekeliruan.

“Rakyat perlu faham tujuan GST dilaksana dan tidak menyalahkan kerajaan kerana terpengaruh dengan media sosial atau pihak yang sengaja menimbulkan kekeliruan mengenai pelaksanaan GST,” katanya.

Katanya GST sebenarnya adalah untuk rakyat melalui projek pembangunan yang dijalan untuk manfaat bersama.

“GST meningkatkan pendapatan negara dan amat rendah jika dibanding negara lain,” katanya.

Awang Tengah turut menyampaikan sejumlah RM239,000 BR1M kepada 298 penerima di Long Tengoa di Trusan Lawas.

Hadir sama ialah Ahli Parlimen Lawas Datuk Henry Sum Agong, Timbalan Residen Bahagian Limbang Selamat Jati Yanjah dan Pegawai Daerah Lawas Husaini Hakim.