Kerjasama padu banteras dadah

0

KERJASAMA: Abdul Razak (kanan) bercakap pada sidang media semalam. Turut
kelihatan DSP Lim.

BINTULU: Kerjasama semua pihak diperlukan untuk membanteras aktiviti pengedaran dan penagihan dadah di Bintulu, kata  Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintenden Abdul Razak Mohammad.

Jelasnya, kerjasama itu penting memandangkan pihak polis tidak dapat menyekat kegiatan jenayah bersendirian sebaliknya memerlukan kerjasama bersepadu.

Katanya, antara aktiviti boleh dilakukan oleh agensi berkaitan ialah mengadakan program kesedaran penyalahgunaan dadah, menyekat kemasukan dan menangkap pendatang haram serta operasi pemeriksaan termasuk  penguatkuasaan lainnya.

“Tidak seharusnya menuding kesalahan dan tanggungjawab memerangi dadah kepada pihak polis sahaja,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Bintulu semalam.

Beliau berkata perbuatan menuding jari tidak akan menyelesaikan masalah berkenaan sebaliknya bekerjasama menanganinya adalah cara terbaik.

Melihat kepada situasi di bandar lama Bintulu, katanya, pemilik kedai atau peniaga di kawasan itu juga perlu memainkan peranan melaksana tanggungjawab sosial mereka dengan tidak membenar premis digunakan untuk kegiatan penyalahgunaan dadah.

“Mereka menyewa premis kepada warganegara asing sehingga golongan ini mencetus masalah sosial sebagai pengedar dadah dan penagih dadah,” ujarnya mengulas mengenai serbuan yang pihak polis jalankan di kawasan terbabit.

Katanya, situasi itu dapat dilihat sekitar jam 6 petang hingga 7 malam, golongan warga asing ini menjalankan kegiatan mereka dan polis segera melakukan serbuan namun ia tidak selesai jika hanya polis sahaja yang bertindak.

“Faktor utama wujud keadaan itu adalah pemilik rumah kedai menyewa bilik atau rumah kedai kepada golongan terbabit,” jelasnya.

Menurutnya, pihak berkuasa tempatan lain juga perlu bertindak tegas menguat kuasa undang-undang dengan tidak membenar bangunan disewa kepada warga asing untuk dijadikan lokasi aktiviti dadah serta jenayah lain, manakala Jabatan Imigresen perlu lebih kerap memantau keadaan.

“Tangkapan boleh dilakukan sekiranya terdapat warganegara asing bekerja di sini tanpa mempunyai dokumen yang sah,” katanya.

Katanya, terdapat juga di kawasan rumah kampung, bandar lama Bintulu, Kidurong Height dan simpang Bakun tidak didiami penduduk tempatan yang mungkin dijadikan sebagai tempat tinggal pendatang haram.

“Semua faktor ini merupakan penyumbang kepada mengapa semakin ramai warganegara asing terutamanya Indonesia datang ke Bintulu. Ada antaranya masuk secara haram bekerja di kilang, ladang, kem pembalakan dan sebagainya tetapi tiada sebarang tindakan diambil,” katanya.

Menurutnya, sekiranya mengambil kira soal kekurangan anggota ia tidak akan dapat menyelesaikan masalah memandangkan polis mengalami keadaan sama, namun tetap meneruskan tugas penguatkuasaannya membanteras jenayah setiap ceruk kawasan Bintulu.

Begitupun, katanya, landasan terbaik  setiap agensi perlu bersatu dan mengambil tindakan bersepadu untuk menangani kebanjiran pendatang tanpa izin ini dan masyarakat perlu menyalur maklumat dan majikan pula tidak harus menggaji pekerja asing yang tidak memiliki permit.

“Dua kes bunuh di asrama pekerja dan kilang papan di Taman Perindustrian Kemena melibatkan mangsa dan suspek adalah contoh terdekat mengenai warganegara asing Indonesia yang tidak memiliki pasport dan permit sah untuk bekerja di negara ini.

“Isunya tidak memiliki permit dan pasport tetapi majikan pula hanya memikirkan keuntungan sahaja. Majikan lupa mengenai tanggungjawab sosial sekali gus menjadi punca kepada wujudnya jenayah dengan kehadiran ramai pendatang haram ini,” katanya.

Jelasnya, kes melanggar penghadang dipasang di Kilometer 44 Jalan Bakun oleh lori antara contoh lain   memerlukan penguatkuasaan tegas melihat kepada pemandu lorinya berumur 41 tahun membawa lorinya dengan bebas dari Miri ke Bakun tetapi tidak mempunyai lesen kelas E dan kelindannya pula warganegara Indonesia tidak memiliki pasport.

Timbalan Ketua Polis Daerah Bintulu, DSP Lim Kwai Seng dan Ketua Bahagian Pengurusan Daerah Ibu Pejabat Polis Bintulu, ASP Jame Reis dan pegawai-pegawai kanan polis Bintulu turut hadir pada sidang media itu.