SEDC bantu tukang urut buta jalan perniagaan di Sarawak Plaza

0

KUCHING: Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) menyediakan sebuah pusat terapi altenatif bagi membantu kumpulan tukang urut OKU penglihatan menjalankan perniagaan di Sarawak Plaza, di sini.

Pengerusinya Datuk Talib Zulpilip berkata, pusat tersebut merupakan salah satu usaha pihaknya melalui projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk membantu golongan berkenaan menceburkan diri dalam perniagaan.

“Tahniah diucapkan kepada kumpulan ini (tukang urut OKU penglihatan) kerana sanggup mengadakan satu perniagaan yang halal dan bersih.

“Bagi SEDC, menjadi tugas kami untuk memberi peluang kepada mana-mana pihak untuk menjalankan perniagaan dan kerjasama semua amat dihargai seperti DBKU yang memberi lesen yang dapat menyakin dan mengesahkan bahawa pusat urutan ini mengikut peraturan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pusat Terapi Alternatif (Pusat Urut Orang Buta) terletak di Unit R LG2 Lower Ground pusat beli-belah itu semalam.

Ketika ditanya mengenai CSR itu, Talib yang juga Menteri Muda Pelancongan menjelaskan bahawa ia merupakan yang pertama melibatkan OKU penglihatan di pusat beli-belah.

“Sekiranya projek ini berjaya, kita akan teruskan dan tambahkan bilangannya serta membuat ditempat lain,” ujarnya.

Pusat itu menyediakan tukang urut dengan kemudahan dan lokasi selesa untuk melakukan perniagaan, terletak di penjuru aras bawah serta memiliki tempat letak kereta yang selamat.

Manakala pengurus pusat tersebut yang juga seorang OKU penglihatan, Isak Ungau dan pembantunya Una Wan, Sadun Julen dan Agnes Juna merupakan pengurut terlatih dan telah menerima sijil daripada kerajaan dalam bidang refleksologi dan urutan badan.

Dengan keluasan 10 kaki persegi, pusat itu dibahagikan kepada dua bahagian iaitu bilik urutan dan ruang menunggu untuk perkhidmatan refleksologi.

Ditubuhkan dengan kos RM10,000 dan dana disediakan sepenuhnya oleh SEDC, pusat itu dibuka dari jam 10 pagi hingga 7 malam setiap hari dan rawatan disediakan termasuk urutan seluruh badan dan urutan istimewa bagi masalah kesihatan tertentu.

Kadar dikenakan adalah RM18 untuk setengah jam, RM30 sejam dan RM45 sejam setengah.

“Saya mewakili rakan-rakan OKU penglihatan di pusat ingin mengucapkan terima kasih kepada SEDC kerana memberi peluang kepada kami dalam proses membuktikan kepada masyarakat bahawa kami juga berpeluang dalam bidang perniagaan iaitu menguruskan pusat ini,” kata Isak.

Turut hadir pada majlis perasmian itu Datuk Bandar DBKU Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Isak di talian 019-2112558 atau Sadun (013-8168742).