AIFFA 2015 bermula dengan seminar ‘AIFFA Film Biz World’

0

KUCHING: Anugerah dan Festival Filem Antarabangsa ASEAN (AIFFA) 2015 bermula semalam dengan peng-anjuran ‘AIFFA Film Biz World’ di Kompleks Pelan-congan Sarawak di sini.

Program itu termasuk Seminar dan Pameran Filem AIFFA yang diada-kan sehingga Sabtu ini yang mengetengahkan barisan penceramah antarabangsa yang terbabit dalam pelbagai topik.

Berdasarkan program yang dikeluarkan penganjur Thierry Bleu, antara penceramah yang dijemput Mritunjay Pandey, Rezal A. Rahman, Justin Deiman, Leon Tan, Cedric Eloy dan Yasu Tanaka.

Sementara itu forum ASEAN-China dan ASEAN-Korea berlangsung hari ini dan Sabtu yang disertai pengeluar filem terkemuka, penerbit, pengarah, penulis skrip dari China dan Korea.

Topik termasuk perbincangan mengenai kemungkinan menjalin kerjasama dan pendidikan untuk lebih memahami pasaran filem China-ASEAN dan Korea-ASEAN.

Festival AIFFA kali ini juga berlangsung di hutan hujan, iaitu tayangan filem maraton selama 12 jam di Kampung Budaya Sarawak (SCV), kira-kira 50 km dari Kuching, bermula dari 6 petang hari ini hingga 6 pagi esok.

Pengarah festival itu, Livan Tajang berkata filem-filem yang ditayangkan akan bersaing dan dipilih sepasukan juri termasuk pengeluar filem terkemuka di ASEAN.

“Sambil berhibur, peminat filem berpeluang bertemu pengeluar filem dan selebriti di sana,” kata Livan.

Acara kemuncak adalah Malam Gala dan majlis penyampaian anugerah di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Sabtu.

Livan berkata penganjur menerima 60 filem untuk anugerah itu, dan menambah malam gilang-gemilang itu berakhir dengan penyampaian Anugerah ASEAN, sebuah filem yang memaparkan ciri ASEAN terbaik.

Beliau berkata bagi anugerah ikon, seorang personaliti filem ASEAN yang berjaya menembusi tembok antarabangsa bakal dinobatkan Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat.

“Pemenang anugerah pada 2013, Tan Sri Michelle Yeoh akan menyampaikan anugerah itu kepada pemenang dan bintang Hollywood, Datuk Jackie Chan antara selebriti yang hadir pada malam gala tersebut,” kata Livan.

Anuar Zain, Piolo Pascal, Dewi Liana Seriestha, Emilia Contessa, Tata Young dan kumpulan K.Pop Nolza antara artis yang akan mengadakan persembahan pada Malam Gala di dewan utama, manakala Dasha Logan, penyanyi kelahiran Malaysia yang kini menduduki tangga teratas carta UK Soul akan membuat persembahan di ruang legar BCCK, katanya.

Sementara itu, delegasi Filipina bersama Piolo antara yang terawal tiba di sini hari ini diikuti delegasi Malaysia dan Indonesia.

Penyanyi Indonesia, Emilia Contessa mengetuai delegasi negaranya manakala penerbit filem dan pelakon terkenal, Datuk Yusof Haslam mengetuai delegasi Malaysia. — Bernama