Miri City Run pada 17 Mei rai detik bersejarah

0

MIRI: Sempena dengan ulang tahun Hari Bandaraya Miri Ke-10 pada 20 Mei depan, Majlis Bandaraya Miri (MBM) dengan kerjasama beberapa kelab larian di sini akan menganjurkan Miri City Run 2015, acara larian yang julung kali diadakan untuk meraikan detik bersejarah itu.

Acara larian itu yang akan diadakan pada 17 Mei dibuka kepada semua warga Miri tanpa mengira umur, bangsa dan agama dibahagikan kepada dua acara iaitu larian yang dipertandingkan dan ‘Fun Run’ yang tidak dipertandingkan.

Datuk Bandar Miri Lawrence Lai menjelaskan, bagi acara larian yang dipertandingkan iaitu Miri City Run – 10KM Run, ia dibahagikan kepada enam kategori iaitu Lelaki Terbuka, Wanita Terbuka, Lelaki Veteran, Wanita Veteran serta Lelaki Junior dan Perempuan Junior (kedua-dua kategori ini dibuka untuk pelajar sekolah dari berumur sembilan hingga 13 tahun).

“Untuk acara larian yang dipertandingkan ini, hadiahhadiah menarik disediakan untuk pemenang dan kita menghadkan kepada 1,000 peserta sahaja bagi kesemua enam kategori yang dipertandingkan ini.

“Oleh yang demikian mereka yang berminat perlu mendaftar awal, sebaik borang penyertaan dikeluarkan oleh pihak penganjur kelak,” katanya sambil menyatakan keyakinan bahawa larian berkenaan yang bakal diadakan di kawasan Marina Bay di sini akan mendapat sambutan hangat daripada peserta lebihlebih lagi pelari maraton yang bergiat aktif di Miri.

Bagi ‘Fun Run’ 5KM, Lai memberitahu acara ini adalah untuk larian suka-suka sahaja dan tidak dipertandingkan serta dibuka kepada semua orang dari peringkat kanak-kanak hingga dewasa.

Memandangkan tiada hadiah untuk acara ini, pihak penganjur telah menyediakan baju-T sebagai tanda penghargaan di atas penyertaan dan sokongan orang ramai bagi menjayakan acara tersebut.

“Kita menyediakan sebanyak 10,000 baju-T untuk semua orang datang mengambil bahagian kelak.

Jadi konsepnya, siapa cepat dia dapat,” katanya, sambil memberitahu maklumat lanjut berhubung acara larian tersebut kelak akan dimaklumkan dari semasa ke semasa dan boleh dirujuk pada borang penyertaan yang akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

Lai turut berterima kasih kepada penaja larian tersebut iaitu syarikat pemaju Marina Park, Pantai Bayu Indah Sdn Bhd.

Hadir sama wakil daripada kelab-kelab larian di sekitar Miri serta Ketua Pegawai Operasi (COO) Pantai Bayu Indah Sdn Bhd Chee Siew Pin.