Alice cemerlang pada aksi pingpong MSSM

0

CEMERLANG: Alice menunjukkan pingat yang dimenanginya semasa Kejohanan Pingpong MSSM.

KUCHING: Pemain pingpong remaja Alice Chang Li Sian melakar pencapaian cemerlang selepas menjuara acara perseorangan perempuan bawah 18 tahun Kejohanan Pingpong Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) yang berlangsung di Kuala Lumpur dari 15 hingga 19 Mac lalu.

Pemain berusia 15 tahun dari SMK Sungai Maong itu berjaya mengatasi lawan yang lebih berusia untuk merangkul emas pada kejohanan yang berlangsung selama lima hari.

Beliau berjaya menundukkan Vivian Ng dari Selangor dalam saingan suku akhir dengan 3-2 selepas mengatasi tiga lawannya di peringkat kumpulan.

Di peringkat separuh akhir, Alice menyingkirkan rakan sepasukan Catherine Chan dari Miri dengan 4-0 sebelum memastikan emas menjadi miliknya dengan menewaskan Oh Yong Xin dari Pulau Pinang dengan 4-1 dalam aksi final.

Alice turut merangkul perak dalam acara berpasukan perempuan bawah 18 tahun selepas Sarawak tewas 1-3 di tangan Selangor.

“Saya tidak menyasarkan emas dalam acara perseorangan kerana terdapat ramai pemain yang lebih baik dan berpengalaman turut serta.

“Faktor ini menyebabkan saya berasa tidak tertekan dan saya bermain seperti biasa dalam setiap perlawanan dengan harapan dapat melangkah seterusnya,” katanya ketika ditemu bual.

Ujarnya, kemenangan itu meningkatkan lagi keyakinannya untuk mencapai lebih banyak kejayaan pada masa akan datang.

Beliau juga merakamkan penghargaan terhadap jurulatih, Chua Chiaw Lian, ahli keluarga, rakan sepasukan dan kenalan yang telah banyak memberinya sokongan selama ini.

Penglibatan Alice dalam kejohanan kompetitif bermula dengan menyertai Kejohanan Harapa n Malaysia pada 2010 di mana beliau berjaya mengutip dua emas (beregu, erpasukan) dan satu perak (individu).

Pada Jun 2011, Alice antara dua atlet remaja dicalonkan oleh Persekutuan Pingpong Antarabangsa untuk menyertai kem latihan ITTF dan Cabaran Harapan Dunia di Austria.

Dalam Kejohanan Harapan Malaysia 2012, beliau membawa pulang satu emas (berpasukan) dan gangsa (perseorangan).

Pada 2013, Alice memenangi emas dalam acara perseorangan dan beregu dan gangsa untuk acara berpasukan.

Alice akan mewakili Sarawak pada Kejohanan Pingpong Kadet dan Remaja Malaysia Milo Ke-35 yang akan diadakan di Alor Setar, Kedah dari 10 hingga 13 Jun depan.

Tambahnya, beliau berharap dapat mewakili Sarawak pada Kejohanan Pingpong Terbuka Malaysia Ke-52 yang akan diadakan di Pahang dari 14 hingga 17 Disember nanti.