Wednesday, December 7

Baram akan dapat hasil rancangan kerajaan

0

Oleh Mohd Achil Norrlatep //

Perancangan lima tahun akan saksikan pelbagai kemajuan dicapai khasnya ekonomi

MIRI: Kawasan pedalaman Baram bakal memperlihat perubahan hasil perancangan maksimum kerajaan dalam tempoh masa lima tahun akan datang, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang.

Jelasnya, segala perancangan bakal membuah hasil menjelang 2020 yang merangkumi pelbagai aspek terutama ekonomi.

“Dalam jangka masa lima tahun lagi, kita akan dapat lihat keberhasilan hampir semua perancangan dilaksana kerajaan pedalaman Baram berjaya,” katanya kepada Utusan Borneo.

Beliau berkata demikian semalam selepas selesai menyampaikan Geran Projek Kecil Luar bandar (MRP) kepada beberapa persatuan bertempat di Lapangan Terbang Miri.

Antaranya adalah penghasilan produk agro pertanian berteknologi tinggi di kawasan seluas 1,500 ekar sekitar Long Peluan, Long Beruang dan Long Banga, projek penanaman getah beberapa kawasan, program pembangunan komuniti dan pendidikan.

Menurutnya, semuanya bakal menampak hasil dan melonjak ekonomi penduduk tempatan yang terdiri daripada komuniti Orang Ulu.

“Semua etnik Orang Ulu akan mendapat kesan daripada perancangan, program dan membantu mereka aspek ekonomi,” jelasnya.

Semua perancangan itu kata Jabu turut dibantu dengan projek naik taraf serta pembinaan jalan raya baharu terutama kawasan paling jauh di pedalaman.

Secara khusus, beliau merujuk kepada pembinaan jalan raya terutamanya dari Bario ke kawasan Pa’ Daleh serta Long Peluan sepanjang 144 Kilometer menelan belanja RM64 juta.

Senario itu katanya bakal bertambah baik apabila dijangka dalam lima tahun lagi perjalanan Bario-Miri akan disingkatkan kepada lima ke enam jam sahaja.

Terdahulu, beliau menyerahkan MRP kepada tujuh pihak yang keseluruhannya berjumlah RM160,000.

Turut hadir adalah Menteri Muda Kemudahan Awam Datuk Stephen Rundi Utom, Timbalan Se-tiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ose Murang dan Ketua Masyarakat Penan Temenggong Datuk Hasan Sui.