Ahli BEM dinasihatkan jangan percaya propaganda media sosial

0

MIRI: Ahli Sidang Injil Borneo (BEM) diminta tidak mempercayai bulat-bulat apa yang dipapar dalam Internet serta media sosial.

Ahli Dewan Undangan Negeri Telang Usan Dennis Ngau Jok meminta mereka berpegang dan terus kekal kepada ajaran sebenar kitab Injil.

“Jangan percaya bulat-bulat kepada pihak yang mempunyai agenda tersembunyi untuk memporak-perandakan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika majlis penyampaian hadiah Pertandingan Lagu Koir Kristian di Long Lama sempena Hari Irau Ester Zon Baram Tengah 2015 baru-baru ini.

Beliau pada masa sama turut menasihat pengikut anutan berkenaan supaya terus memperkukuh tali persaudaraan sesama sendiri melalui kehadiran dalam aktiviti keagamaan yang dianjurkan.

Mengenai penggunaan kalimah Allah, Dennis berulang kali berkata, ia bukan satu masalah kepada penganut Kristian terutamanya di Sarawak.

“Saya berulang kali menekankan bahawa perkara ini bukan menjadi isu di Sarawak. Ini  dinyatakan oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Adenan Satem kita,” jelas Dennis lagi.

Justeru, beliau menggesa supaya masyarakat Kristian tidak lagi menggembar-gemburkan isu berkenaan.

Mengenai hal berkaitan keagamaan, beliau  memberi nasihat supaya apa-apa isu boleh diaju kepada Pejabat Pusat BEM Sarawak.

Ini katanya bagi mengelak kekeliruan mahupun salah faham yang akhirnya meracuni pemikiran masyarakat Kristian secara keseluruhannya.

Majlis sama turut menyaksi Dennis menyerahkan GEran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM10,000 sebagai kos penganjuran acara berkenaan.

Lebih 25 gereja mengambil bahagian dalam pertandingan itu apabila  Gereja BEM Long Lama menjadi juara dalam kategori Bahasa Melayu sementara kategori Bahasa Kayan dimenangi oleh Gereja BEM Long Laput.