Serian diisytihar bahagian baharu

0

SIMBOLIK: Adenan serta Jamilah bersama Manyin (dua kiri) menumbuk padi dalam lesung sebagai simbolik perasmian Pesta Birumuh atau pesta menuai bagi kaum Bidayuh, semalam. Turut kelihatan Jabu (tiga kiri).

Pengiktirafan kepada Bidayuh yang menyumbang kepada negara: KM

Oleh Jessica Jawing //

SERIAN: Sarawak melakar satu lagi sejarah semalam apabila Serian diisytiharkan sebagai bahagian baharu iaitu yang ke-12.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem yang membuat perisytiharan itu berkata, Bahagian Serian akan merangkumi daerah Serian, daerah Tebedu dan daerah kecil Siburan.

“Hari ini, 11 April 2015 merupakan hari bersejarah bagi Serian kerana dengan ini saya mengisytiharkan daerah Serian, Tebedu dan daerah kecil Siburan sebagai sebuah Bahagian.

“Jika kita ada Bahagian Samarahan bagi Melayu, Bahagian Betong dan Kapit (Iban), Bahagian Mukah (Melanau), Bahagian Sarikei dan Sibu (Cina) dan Bahagian Miri serta Limbang (Orang Ulu) maka Serian adalah bahagian yang majoriti Bidayuh,” ujarnya.

Beliau berkata demikian berucap merasmikan Pesta Birumuh 2015 yang dihadiri Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan selaku Ketua Penasihat Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) Dato Sri Michael Manyin Jawong dan Ahli Parlimen Serian Datuk Seri Richard Riot Jaem di Stadium Mini Serian, di sini.

Adenan berkata, masyarakat Bidayuh layak untuk mendapat perkara berkenaan memandangkan mereka juga merupakan penyumbang kepada pembangunan kepada negeri dan negara.

Jelasnya, komuniti itu harus bangga dengan apa dimiliki mereka sama ada budaya, bangsa dan tradisi mereka, yang harus dikekalkan serta dipelihara.

“Kita juga mahu kaum Bidayuh ini terus bangga dengan kejayaan mereka serta memelihara tradisi dan budaya mereka. Mereka juga layak untuk diiktiraf sama seperti kaum lain yang ada di negeri ini,” tegasnya.

Adenan pada majlis yang sama turut mengumumkan peruntukan RM2 juta kepada DBNA untuk aktiviti mereka termasuk bagi acara memperingati atau sambutan Serian sebagai Bahagian.

Beliau turut menasihatkan kepada komuniti lain di Serian supaya turut bersama dengan kaum Bidayuh untuk menikmati apa yang diberikan dan percaya ia disambut dalam keadaan harmoni.

Mengulas lanjut beliau berkata, sebagai Ketua Menteri Sarawak, beliau akan terus menjaga kepentingan semua kaum di negeri ini termasuk Bidayuh dan bukan untuk satu-satu kaum sahaja.

“Saya berharap anda semua memberi peluang kepada saya lima tahun lagi kerana banyak perkara saya mahu lakukan dalam tempoh itu bagi membangunkan Sarawak.

“Setahun adalah tidak banyak yang mampu saya lakukan tetapi dalam tempoh lima tahun berbagai yang boleh dilaksanakan,” tegasnya.

Antara perkara yang masih belum selesai, katanya, termasuk rundingan untuk memohon royalti minyak dari lima peratus kepada 20 peratus dalam industri minyak dan gas daripada kerajaan persekutuan.

Selain itu, antara isu masih dalam rundingan ialah menurunkan kadar tol atau melupuskannya di semua tol di negeri ini serta permohonan untuk mengenakan caj RM1 bagi perkhidmatan feri di Sarawak.

“Bagi perkhidmatan feri dan penurunan kadar tol ini kita berharap ia dapat diselesaikan sebelum hujung tahun ini.

“Sementara isu royalti bersama Petronas dan kerajaan persekutuan walaupun masih dalam rundingan kita tidak akan berhenti untuk memperjuangkan perkara ini,” ujar Adenan.

Hadir sama pada majlis berkenaan isteri beliau Datin Patinggi Datuk Jamilah Anu, Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang dan Ahli Parlimen Mambong Datuk Dr James Dawos Mamit serta menteri kabinet dan wakil rakyat lain.