Teknologi baharu turun kos rumah

0

Kerajaan akan guna Sistem Modular untuk bina rumah mampu milik

Oleh Agnes Tugong //

KUCHING: Kerajaan negeri menerusi Kementerian Perumahan akan menggunakan teknologi baharu dalam pembinaan rumah mampu milik di negeri ini.

Teknologi yang dikenali sebagai Sistem Modular itu merupakan cara baharu dalam pembuatan rumah pasang siap selain teknologi Sistem Binaan Bersepadu (IBS).

Tujuannya adalah untuk menurunkan kos rumah agar mampu dimiliki oleh golongan berpendapatan rendah dan pertengahan dan bayaran premium serendah RM2,500.

Bagi tujuan itu, Menteri Perumahan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, kerajaan negeri akan menubuhkan syarikat pengeluaran bahan untuk membuat rumah menerusi Sistem Modular.

“Kita telah mengenal pasti beberapa kawasan yang harus kita bekalkan dengan rumah mampu milik dan juga rumah-rumah yang dapat dibeli oleh rakyat berpendapatan rendah dan pertengahan.

“Saya yakin dengan pendekatan baharu ini bersama bantuan daripada kerajaan pusat kita akan dapat memenuhi kehendak rakyat untuk memiliki rumah sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Program Perumahan Rakyat (PPR), Sungai Tengah, Matang (Banjaran Serapi) dekat sini semalam.

Dalam perkembangan berkaitan, Abang Johari berkata kerajaan negeri menerusi kementeriannya telah menubuhkan satu badan institusi kewangan iaitu Mutiara Finance and Credit Sdn Bhd.

Dimiliki sepenuhnya kerajaan negeri, badan itu akan beroperasi pertengahan tahun ini bagi memberi pinjaman bagi pembiayaan perumahan kepada mereka yang ditolak oleh bank.

Mengulas mengenai majlis tersebut, pembinaan tambahan 439 unit rumah PPR di Sungai Tengah, Matang ini merupakan hasil kerjasama erat antara kerajaan pusat dan negeri.

Sehubungan itu, beliau berterima kasih kepada kerajaan pusat khususnya Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan kerana telah banyak memberi pertimbangan untuk membangunkan rumah di negeri ini.

Turut hadir Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Muda Perumahan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Muda Pembangunan Infrastruktur Datuk Daud Abdul Rahman serta yang lain.