Hafiz Suip dilantik duta UCTS

0

DUTA UCTS: Abdul Hakim (tiga kanan) menyerahkan plak sebagai duta UCTS 2015/2016 kepada Hafiz (tiga kiri). Turut kelihatan ialah Dr Annuar (tiga kiri) serta yang lain.

SIBU: Hafiz Suip berbangga dan berbesar hati dengan pelantikan beliau sebagai duta Universiti Kolej Teknologi Sarawak (UCTS) yang akan mempromosikan UCTS sebagai sebuah universiti awam milik kerajaan negeri kepada golongan belia.

“Terima kasih kerana memberi kepercayaan kepada saya menjadi duta UCTS. Pelantikan sebagai duta adalah satu tanggungjawab besar buat saya. Saya akan mempromosikan UCTS kepada golongan belia menerusi media sosial seperti Instagram,” jelasnya.

Hafiz atau nama sebenarnya Mohd Hafiz Mohd Suip, 25, merupakan bekas juara Akademi Fantasia ketujuh, dilantik secara rasmi menjadi duta UCTS selepas pelantikan pasangan adik-beradik yang juga penyanyi Nick Chung dan Stella Chung.

Naib Canselor UCTS Profesor Datuk Dr Abdul Hakim Juri menyifatkan pelantikan Hafiz sebagai duta UCTS dapat membantu memperkenalkan UCTS sebagai sebuah universiti awam yang masih baharu di Sarawak kepada masyarakat luar.

“Sebagai seorang ikon kebanggaan negeri Sarawak, UCTS berharap pelantikan Hafiz dapat menarik minat golongan belia khususnya pelajar Bumiputera memilih UCTS untuk melanjutkan pelajaran mereka,” ujarnya.

Majlis pelantikan Hafiz Suip sebagai duta UCTS 2015/2016 telah berlangsung di Bilik Senat, Blok Pentadbiran UCTS sempena Hari Terbuka UCTS, semalam. Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka Dr Annuar Rapa’ee.