Malaysia rangkul dua anugerah pada AIFFA 2015

0

TEMU BUAL: Adenan dan Jamilah ketika ditemu bual oleh pengacara.

SELAMAT DATANG: Ragad disambut Abang Johari untuk menyaksikan AIFFA 2015.

UNTUK KENANGAN: Para pemenang bergambar kenangan selepas selesai sidang media AIFFA 2015.

TAHNIAH: Adenan menyampaikan Anugerah Inspirasi ASEAN kepada Jackie.

Oleh Hamimi Kassim //

KUCHING: Malaysia berjaya membawa pulang dua anugerah iaitu Anugerah Filem Terbaik dan Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik masing-masing daripada filem Terbaik Dari Langit pada Anugerah dan Festival Filem Antarabangsa ASEAN (AIFFA) 2015, malam kelmarin.

Bagi pelakon lelaki terbaik, acara penuh berprestij itu menyaksikan Bront Palare menjulang anugerah tersebut mengatasi empat calon lain iaitu Ario Bayu (Indonesia), Allen Dizon (Filipina), Chicco Jerikho (Indonesia) dan Reza Minhat (Malaysia).

Manakala filem ‘Terbaik Dari Langit’ pula berjaya mengalahkan Homostratus (Vietnam), Bendor (Filipina), Cahaya Dari Timur (Indonesia) dan Nuwebe (Filipina).

Berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, bintang terkenal Hollywood Datuk Jackie Chan diumumkan sebagai penerima anugerah baharu bagi AIFFA iaitu Anugerah Inspirasi ASEAN.

Sementara itu, penganjuran AIFFA edisi kedua ini menyaksikan Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat yang diterima Tan Sri Michelle Yeoh pada AIFFA 2013 diterima oleh pelakon dari Filipina, Nora Aunor.

Terdahulu, diumumkan pemenang bagi Anugerah Pelakon Wanita Terbaik iaitu Cherie Gil dari Filipina melalui filem ‘Sonata’.

Selain itu, Pembantu Pelakon Lelaki Terbaik dan Wanita Terbaik masing-masing dianugerahkan kepada Sok Sothun dari Kemboja untuk filem ‘The Last Reel’ dan Nadiah Wahid dari Brunei bagi filem ‘Yasmine’.

Turut diumumkan Anugerah Pengarah Terbaik diterima oleh Joseph Laban dari Filipina manakala filem Indonesia iaitu ‘Soekarno’ arahan Ben Sihombing diangkat sebagai Lakon Layar Terbaik pada malam gala itu.

Anugerah Pengarah Fotografi Terbaik pula dianugerahkan kepada Dang Xuan Truong dari Vietnam melalui filem ‘Inseminator’ dan Anugerah Suntingan Filem Terbaik diberikan kepada Benjamin Tolentino dari Filipina bagi filem ‘Bendor’.

Di samping anugerah tersebut, turut diumumkan Anugerah Khas Juri iaitu filem ‘The Lion Men Singapore’ dari Singapura dan Pee Mak dari Thailand.

Manakala Anugerah Semangat ASEAN pula dianugerahkan kepada Purok 7 dari Filipina.

Festival bertemakan ‘AIFFA Movies and Networking Inspire ASEAN (AIFFA MANIA)’ kali ini membariskan lima juri iaitu U-Wei (Malaysia), Philip Cheah (Singapura), Pantham Thongsang (Thailand), Phang Dang Di (Vietnam) dan Latika Padgaonkar (India).

Pada majlis penuh gilang-gemilang itu, Anuar Zain, Emilia Contessa, Tata Young, Piolo Pascual, Dewi Liana Seriestha dan artis K-Pop Nolza turut membuat persembahan bagi menghiburkan penonton yang hadir.

Lebih 200 selebriti, artis, penggiat seni dan komuniti industri perfileman dari ASEAN berkampung di sini bagi menghadiri AIFFA 2015 yang berlangsung selama tiga hari.