Friday, December 3

Sarawak bakal mempunyai kolej matrikulasi pertama di Lundu

0

KOLEJ MATRIKULASI DI LUNDU: Beberapa projek dilaksanakan mulai tahun ini sebagai hadiah kepada kesetiaan rakyat Lundu.

LUNDU: Sarawak bakal mempunyai kolej matrikulasi pertama yang akan dibina di daerah ini, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.

Beliau memberitahu, pembinaan kolej matrikulasi itu adalah antara beberapa projek mega yang akan dilaksanakan di daerah berkenaan bermula tahun ini.

Selain membina kolej matrikulasi, kerajaan juga katanya akan membina Sekolah Teknikal Yayasan Sarawak di situ.

“Kerajaan telah bersetuju mendirikan kolej matrikulasi. Pelajar yang layak dari seluruh negeri Sarawak akan ditempatkan di sini.

“Yayasan Sarawak juga akan membina sekolah teknikal di lokasi sama.

“Kedua-dua projek ini bernilai mungkin mencecah RM200 juta,” katanya ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan Masyarakat Lundu, semalam.

Adenan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Datu berkata projek lain bakal dilaksanakan ialah memanjangkan Jalan Sematan hingga ke Telok Melano, dianggarkan bernilai RM100 juta.

Katanya majlis peletakan batu asas projek memanjangkan Jalan Sematan hingga Telok Melano yang merupakan sebahagian daripada Projek Lebuh Raya Pan Borneo akan diadakan pada September tahun ini.

Beliau turut mengumumkan peruntukan RM1 juta untuk Sekolah Kebangsaan Bumiputera Lundu, RM10 juta untuk menaik taraf Dewan Masyarakat Lundu, RM3 juta bagi menaik taraf Masjid Daerah Lundu dan RM1 juta untuk Lembaga Pengurusan SJK Chung Hua Lundu.

“Ini semua (projek pembangunan) merupakan hadiah istimewa kepada rakyat daerah ini yang kekal setia kepada saya khasnya dan Barisan Nasional (BN) amnya.

“Saya percaya projek-projek ini akan membawa keuntungan kepada rakyat lebih-lebih lagi di Lundu,” ujar beliau.

Pada majlis sama Adenan menyampaikan geran projek kecil luar bandar (MRP) kepada 95 wakil penerima terdiri daripada persatuan, pertubuhan bukan kerajaan, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), sekolah, masjid, surau dan gereja membabitkan nilai keseluruhan RM2.152 juta.

Beliau juga mengambil kesempatan menyempurnakan simbolik penyerahan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada 1,100 penerima yang layak dari daerah Lundu.

Dianggarkan kira-kira 2,000 orang menghadiri majlis berkenaan yang turut dihadiri isteri Ketua Menteri Datin Patinggi Datuk Jamilah Anu, Menteri Muda Kemajuan Tanah Datuk Abdul Wahab Aziz, ADUN Opar Ranum Mina dan ketua-ketua masyarakat.

TELITI: Adenan melihat pelan cadangan naik taraf dan pengubahsuaian Dewan Masyarakat Lundu pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat.