JPA nafi lebih 400,000 terima gaji sekitar RM805-RM820

0

KUALA LUMPUR: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) semalam menafikan terdapat 400,000 hingga 800,000 penjawat awam daripada Kumpulan Pelaksana yang masih menerima gaji antara RM805 hingga RM820 sebulan.

JPA dalam kenyataan semalam berkata gaji terendah dalam Perkhidmatan Awam ialah bagi gred 11 iaitu antara RM832 hingga RM850.

Menurut kenyataan itu, jumlah pendapatan keseluruhan untuk kelompok berkenaan yang meliputi gaji dan elaun adalah antara RM1,257 dan RM1,275.

“Menurut rekod rasmi kerajaan, jumlah penjawat awam yang menerima gaji RM850 ke bawah ialah seramai 3,072 orang,” katanya.

Kelmarin, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Datuk Azih Muda dilaporkan berkata terdapat 400,000 penjawat awam di negara ini masih menerima gaji serendah RM805 sebulan.

Azih berkata mereka yang menerima gaji seperti itu kebanyakannya terdiri daripada pembantu am dan pemandu yang masuk ke perkhidmatan awam menggunakan kelayakan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Sementara itu, Azih ketika dihubungi Bernama berkata gaji antara RM832 hingga RM850 itu masih dikira berada di bawah garis kemiskinan dalam situasi peningkatan kos sara hidup pada masa ini.

“Sekarang kita bercakap pasal gaji pokok bukannya ambil kira soal campur dengan elaun perumahan, elaun khidmat awam dan elaun sara hidup. Elaun bukan pendapatan sebenar…macam mana penjawat awam yang dapat kuarters kerajaan, sudah tentu elaun perumahan kena tarik balik, tidak dapat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengulangi tuntutan CUEPACS supaya kerajaan menaikkan gaji penjawat awam dalam kelompok gaji terendah sekurang-kurangnya 35 peratus atau menetapkan RM1,200 sebulan sebagai gaji minimum mereka.

Azih berkata peningkatan gaji boleh menjadi pendorong kepada penjawat awam meningkatkan produktiviti kerja dan menunjukkan prestasi yang baik sekaligus mewujudkan modal insan bersikap positif.

“Makan kena cukup dan hidup selesa. Lagi pula dengan gaji pokok RM800 lebih sebulan ini mampukah mereka hendak beli rumah yang berharga RM150,000 di bawah PPA1M (Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia)? Jawapannya memang tidak mampu,” katanya. — Bernama