Kaunter perkhidmatan e-Filing LHDN dibuka pada hujung minggu

0

KUALA LUMPUR: Kaunter perkhidmatan e-Filing di semua cawangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di seluruh negara akan beroperasi pada hujung minggu bermula semalam.

LHDN dalam satu kenyataan semalam berkata bagi negeri Kelantan, Terengganu, Kedah dan Johor yang hari hujung minggu jatuh pada Jumaat dan Sabtu, kaunter dibuka semalam dan hari ini serta pada 24 dan 25 April depan bermula jam 9 pagi hingga 5.30 petang.

Sementara itu, bagi negeri yang hari hujung minggu pada Sabtu dan Ahad, kaunter akan dibuka esok (18 April), 19 April, 25 April dan 26 April bermula jam 9 pagi hingga 5.30 petang.

Bagaimanapun, di Sabah dan Sarawak waktu operasi akan bermula pada jam 8 pagi hingga 5 petang.

“Bagi tarikh 26 April 2015 (Ahad), kaunter perkhidmatan e-Filing di negeri Terengganu ditutup berikutan cuti umum sempena Hari Keputeraan KDYMM (Kebawah Duli Yang Maha Mulia) Sultan Terengganu,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu berkata kaunter berkenaan dibuka pada hujung minggu bertujuan membantu pembayar cukai yang tidak mempunyai kemudahan internet untuk menghantar Borang Nyata Cukai Pendapatan (Borang BE sahaja) menggunakan e-Filing.

Sehubungan itu, LHDN meminta pembayar cukai menggunakan kemudahan yang telah disediakan dan memastikan Borang Nyata Cukai Pendapatan mereka dikemukakan dalam tempoh telah ditetapkan.

Sebarang pertanyaan berkaitan dengan hal ehwal percukaian boleh diajukan kepada Pusat Panggilan LHDN di talian 1-800-88-5436 atau dikemukakan melalui Borang Maklumbalas Pelanggan di http://maklumbalas.hasil.gov.my/. — Bernama