SESCo lancar operasi bersepadu

1

BERKUNCI: Pasukan pemeriksaan meter SESCo tidak dapat mengakses meter kerana ia berkunci di dalam kabinet.

KUCHING: Syarikat SESCo Berhad (SESCo) memulakan operasi pemeriksaan secara bersepadu seluruh negeri mengambil masa selama dua minggu.

Antara stesen yang disasarkan termasuklah Kuching, Sri Aman, Sarikei, Bintulu, Miri, Limbang dan Lawas.

SESCo menerusi kenyataan akhbarnya semalam menyatakan operasi tersebut melibatkan 100 orang juruteknik pemeriksaan meter dan 30 polis bantuan.

Dalam operasi dua minggu itu, sebanyak 3,077 meter diperiksa dan 267 meter (lapan peratus) daripadanya didapati terdapat kesan ubah suai.

Peratusan meter didapati diganggu berkurangan berbanding catatan operasi tahun lalu yang mencatatkan peratusan gangguan sebanyak 15 peratus dipercayai ekoran peningkatan kesedaran masyarakat melibatkan bahaya mengganggu atau mengubah suai meter selain kesedaran aktiviti yang diklasifikasikan sebagai jenayah menjurus ke arah denda dan hukuman penjara.

Di Miri, sebuah kafe muzik di Jalan Merpati ditangkap kerana mengganggu meter buat kali ketiga.

Aktiviti mengganggu meter itu pernah dijalankan oleh kafe tersebut pada Februari 2014 dan Oktober 2014.

Meter itu kemudiannya               digantikan dengan ‘smart meter’ yang mempunyai ciri-ciri penggera sekiranya terdapat individu yang mengganggu atau mengubah suai bacaan meter dan boleh dipantau dari jauh.

Memandangkan kafe tersebut merupakan pelanggan berada dalam senarai pemantauan SESCo, penggunaan dan status meter adalah dipantau dengan teliti.

Apabila penggera direkodkan, SESCo segera menjalankan pemeriksaan meter di kafe tersebut namun, ketika pasukan teknikal tiba di lokasi meter itu telah dikunci dalam kabinet meter oleh pengendali premis perniagaan.

Ketika diarah untuk membuka mangga mengunci kabinet meter, pengendali terbabit memberi alasan tidak memiliki kunci peti dan beranggapan dengan memberi alasan sedemikian, pasukan pemeriksaan SESCo tidak akan dapat memeriksa meter itu.

Memandangkan gangguan pada penggera memberi gambaran jelas, pasukan pemeriksaan SESCo bertindak memotong mangga untuk mengakses kabinet berkunci agar meter dapat diperiksa.

Siasatan lanjut mendapati semua meter dimeterai dan didapati diganggu sekali gus mencatat bacaan penggunaan tenaga elektrik sebanyak 30 peratus oleh kafe tersebut.

Semua bukti gangguan disita dan digunakan untuk pendakwaan di mahkamah.

Laporan polis juga diserahkan untuk siasatan lanjut dan pelanggan akan dipanggil untuk membantu siasatan.

Jurucakap SESCo berkata: “Di bawah Ordinan Elektrik Sarawak Seksyen 32 (B), SESCo mempunyai kuasa memeriksa meter dan adalah satu kesalahan menghalang pasukan pemeriksaan meter SESCo membuat pemeriksaan.

“Jika didapati bersalah, pesalah boleh didenda sejumlah RM5,000 atau penjara selama dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Tambahnya, sejak menjalankan pemeriksaan akhir-akhir ini pasukan SESCo banyak berdepan masalah dengan pelanggan terutamanya kilang yang sering menggunakan taktik sama bagi mengelak pasukan pemeriksaan meter memasuki bilik suis utama untuk memeriksa meter.

“SESCo menggesa orang ramai bekerjasama dengan pasukan pemeriksaan meter dalam menjalankan kerja mereka.

“Pada masa sama, ia bertujuan membolehkan SESCo memeriksa keadaan sistem pemeteran pendawaian elektrik di premis pelanggan memastikan mereka selamat,” tegasnya.