TI-M ajak rakyat Malaysia ambil bahagian perangi rasuah

0

KUALA LUMPUR: Transparency International-Malaysia (TI-M), sebuah badan bukan kerajaan (NGO), mengambil inisiatif melancarkan kempen ‘Bersuara Menentang Rasuah’ bagi membantu orang ramai membuat laporan kepada pihak berkuasa dalam usaha memerangi rasuah di negara ini.

Presidennya Datuk Akhbar Satar berkata program tersebut dilancarkan bagi meningkatkan kesedaran orang ramai untuk membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) tentang kegiatan rasuah yang berlaku di hadapan mata mereka.

“Sebelum ini TI-M hanya memberi pendidikan kepada orang ramai tentang kesan buruk rasuah kepada kehidupan mereka namun pada kali ini kami mengajak orang ramai terlibat sama membuat laporan kepada pihak berkuasa.

“Kami akan membantu orang ramai dari segi membuat laporan kerana masih ramai rakyat Malaysia tidak tahu saluran dan bagaimana untuk membuat laporan membabitkan kes rasuah,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen ‘Bersuara Menentang Rasuah’ di sini semalam.

Akhbar berkata kadangkala orang ramai mempunyai maklumat cukup untuk membuat laporan berkenaan rasuah namun perasaan takut dan risau dengan risiko yang bakal dihadapi membuatkan mereka mengambil keputusan untuk berdiam diri.

Beliau berkata daripada statistik TI-M hasil soal selidik terhadap 2,000 orang di negara ini pada tahun lalu mendapati bahawa 46 peratus tidak melaporkan kes rasuah kerana takut dengan risiko.

“Mereka yang takut untuk membuat laporan boleh datang ke Pejabat TI-M yang terletak di Petaling Jaya atau menghubungi talian bebas tol 1800 220 122 mengenai aduan rasuah dan kami akan membantu anda,” katanya.

Akhbar berkata pemberi maklumat tidak perlu risau dengan risiko yang bakal ditanggung oleh mereka selepas membuat laporan kerana identiti dan maklumat akan dirahsiakan dan mereka diberi pelindungan yang sewajarnya di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.

Akhbar berkata pihaknya turut menerbitkan ‘Buku Panduan Warganegara’ bagi memberi maklumat kepada orang ramai dalam empat bahasa iaitu Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Bahasa Tamil dan Bahasa Mandarin.

“Orang ramai boleh mendapat buku tersebut dengan datang ke pejabat TI-M atau menulis surat kepada kami dan kami akan menghantarnya menerusi perkhidmatan pos,” katanya. — Bernama