1,000 meriahkan Kaul Tugek, upacara hantar ‘seraheng’ kepada ‘ipok’

0

PERARAKAN: Bot yang dikepalai dengan penghantaran ‘seraheng’ tiba di ‘tugek’.

MUKAH: Lebih 1,000 orang hadir dalam bersama-sama memeriahkan acara ‘Kaul Tugek’ yang merupakan permulaan bagi Pesta Kaul sejak zaman berzaman lagi.

Acara tersebut dimulakan dengan perarakan ‘seraheng’ yang bermula dari jeti di Kampung Tellian Daya dengan diiringi oleh sebanyak 61 buah bot yang terdiri daripada bot tangsi dan persendirian dari Kampung Tellian, Kampung Penakub Permai, Kampung Sungai Ragei, Kampung Jebungan dan Kampung Penipah.

‘Seraheng’ merupakan kepala hantaran kepada ‘ipok’ (Tuhan komuniti Melanau dahulu kala), sekali gus sebagai simbolik yang mempunyai motif tertentu dan wajib ada dalam upacara tradisi itu sehingga ke hari ini.

Setibanya di ‘tugek’ iaitu muara sungai, Bapa Kaul membawa ‘seraheng’ ke kawasan khas dan akan ditanam sebelum mengisinya dengan makanan.

‘Seraheng’ terlebih dahulu akan dimantera oleh Bapa Kaul. Selesai upacara itu, beliau bersama penduduk makan beramai-ramai bekalan makanan yang dibawa dari rumah masing-masing.

Acara makan beramai-ramai dalam kalangan penduduk dan pengunjung dilihat sebagai tali pengikat sosial yang amat berkesan yang diamalkan sejak turun-temurun oleh komuniti Melanau tradisional.

Turut hadir dalam memeriahkan acara tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.51 Balingian Yussibnosh Balo.