Golongan muda duta perkenal budaya kepada masyarakat luar

0

KUCHING: Golongan muda mempunyai peranan sebagai duta budaya terutama dalam memperkenalkan budaya masing-masing kepada masyarakat luar, kata Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri Abdullah Saidol.

Sehubungan itu, beliau berkata, perasaan malu sepatutnya tidak timbul dalam kalangan golongan muda terutama dalam memartabatkan budaya masing-masing yang diwarisi secara turun-temurun.

“Apa yang patut dilakukan golongan muda hari ini adalah mengenali budaya masing-masing dan perkenalkannya (budaya) kepada masyarakat luar.

“Jangan malu terutama dalam aspek mempopularkan budaya masing-masing,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Kem Sukarelawan Budaya: NBOS 1Voluntourism Culture & Heritage di Kem Permai semalam.

Kem yang disertai 40 peserta itu merupakan anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sarawak bersama Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Sarawak.

Abdullah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop berkata, budaya merupakan aspek penting dalam membentuk jati diri dan meningkatkan persefahaman dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.

“Menerusi budaya, kita dapat tingkatkan persefahaman dan memperkasa amalan murni termasuk di negeri Sarawak yang memiliki pelbagai kaum serta kepercayaan,” ujarnya.

Pada majlis itu, Abdullah turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM10,000 untuk penganjuran kem sama di Meradong dengan kerjasama Persatuan Anak Seni Meradong.

Sementara itu, Pengarah JKKN Sarawak Salehhuddin Md Salleh menjelaskan, program sukarelawan seperti itu dapat membuka ruang kepada peserta untuk membentuk jati diri.

“Ini penting agar mereka menyedari tanggungjawab masing-masing terhadap masyarakat melalui aktiviti kebudayaan,” jelasnya.

Program itu adalah kesinambungan daripada Kem Sukarelawan Budaya yang dilaksanakan JKKN pada tahun 2013.