Hino Motors lancar Pusat Jualan, Perkhidmatan dan Alat Ganti

0

KUCHING: Hino Motors Sales Malaysia Sdn Bhd (HMSM) melancarkan Pusat 3S (Jualan, Perkhidmatan dan Alat Ganti) untuk memenuhi permintaan pemilik kenderaan Hino di sini semalam.

Pusat 3S di bawah Lu & Sons Engineering Sdn Bhd (LSESB) dirasmikan Ahli Parlimen Bintulu juga Wakil Khas Perdana Menteri ke Asia Timur (Jepun, Korea Selatan dan Taiwan) Datuk Seri Tiong King Sing dan Pengarah Urusan HMSM, Ken Iwamoto.

Menurut Pengurus Besar LSESB, Lu Soon Jing mereka memulakan kerjasama setia dengan Hino sejak 31 tahun lalu pada 1984 di Bintulu sebagai pengusaha 2S (Perkhidmatan dan Alat Ganti).

Bagaimanapun, ekoran pembangunan serta ekonomi pesat di Bintulu, syarikat itu melihat kegiatan ekonomi dan perindustrian semakin meningkat dan menambah permintaan kenderaan komersil serta kualiti lebih tinggi dalam perkhidmatan selepas jualan.

“Pada 1996, kami memutuskan menaik taraf kepada pengusaha 3S untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat dan lebih baik.

“Pada 1997, syarikat kami dinaik taraf kepada pengusaha 3S dan berpindah ke Pusat 3S baharu di Jalan Nyigu, Bintulu,” katanya.

Lu berkata, walaupun selepas 31 tahun mereka tetap yakin kerana Hino adalah jenama sentiasa bertambah baik dan berubah memenuhi permintaan pasaran dan menyediakan sokongan cemerlang kepada pengusaha.

Selain Bintulu dan Kuching, LSESB juga mempunyai cawangan di Sibu dan Miri memberi liputan khidmat pelanggan yang terbaik di Sarawak.

LSE di Pusat 3S Kuching terletak di Lot 3719, Blok 24, MTLD 26, Estet Perindustrian Stakan, Kota Samarahan di lokasi strategik di hab kawasan perniagaan pesat berkembang seluas kira-kira dua ekar.

Selain itu, bahagian industri, pemborong, lojistik, pengusaha SME dan pengangkutan adalah antara kegiatan ekonomi paling pesat di kawasan itu.

Pusat baharu dinaik taraf itu mempunyai sebuah pejabat baharu yang luas untuk bilik pameran utama, pejabat pentadbiran dengan sebuah bengkel untuk kerja membaik pulih dan penyelenggaraan dengan 12 juruteknik Hino mahir dapat memberi perhatian kepada 30 buah bas atau trak Hino sehari selaras dengan standard kualiti dan keselamatan tertinggi Hino.

Ini termasuk 27 ruang perkhidmatan, dua ekspres, satu pemeriksaan terakhir bagi khidmat MCV & HCV & Bas serta enam ruang kerja membaiki badan kenderaan iaitu sebanyak 36 ruang keseluruhan bergantung kepada beban kerja dan tata rajah.

Sementara itu, Iwamoto berkata HMSM menekankan tentang pembangunan konsep kenderaan Hino berdasarkan keperluan perniagaan, pemandu dan pengangkutan.

Katanya, ia direka dengan mematuhi konsep QDR (Kualiti, Ketahanan dan Kebolehpercayaan) merangkumi kebolehpercayaan sepenuhnya, penjimatan bahan bakar, prestasi enjin kuat, keselamatan dan pemanduan selesa.

“Misi Hino bukan sahaja memajukan produk sesuai bagi perniagaan setiap pelanggan sebagai produk QDR, juga menyediakan khidmat selepas jualan berkualiti meminimumkan masa rosak dan kos jangka hayat operasi kenderaan.

“Justeru, ia diterima ramai pelanggan di Malaysia. Dalam GVW 4 tan dan ke atas, bagi trak dan bas dalam pasaran Malaysia, Hino adalah No. 1 sejak 2010,” kata Iwamoto.

Falsafah ‘Total Support’ HMSM adalah cara untuk maju ke hadapan kerana ia berusaha bersama Hino Motors Manufacturing (M) Sdn Bhd mencapai keyakinan dan kepercayaan pelanggan dan menyediakan pelbagai jenis kenderaan Hino paling sesuai kepada pelanggan selain khidmat selepas jualan tidak ada taranya.

Dengan pelanggan semakin ramai di Kuching, Hino meramalkan permintaan akan meningkat bagi perkhidmatan selepas jualan.

Dengan mengukuhkan pasaran, Hino terus menyediakan produk berkualiti tinggi dan menyediakan perkhidmatan cemerlang dan sentiasa meningkatkan kepuasan pelanggan dan mengesahkan kedudukannya sebagai jenama komersil paling laris di negara ini.

Sempena pelancaran Pusat 3S baharunya,  LSE menganjurkan pemeriksaan percuma bagi aktiviti PROCARE di premisnya dan di Kuching pada 13 dan 17 April lalu.

Acara tersebut memberi peluang kepada pemilik Hino menjalankan pemeriksaan kenderaan secara percuma oleh mekanik terlatih selain menunjukkan komitmen Hino menyediakan khidmat selepas jualan terbaik yang juga sebahagian daripada aktiviti ‘Total Support’ kepada masyarakat.

Setakat ini, terdapat 103 rangkaian Hino (outlet bagi jualan, perkhidmatan dan alat ganti) dengan 58 outlet jualan pengedar Hino di seluruh negara dengan 37  merupakan pusat 3S.