Isteri buat laporan polis tidak tahan sikap cemburu suami

1

SIBU: Seorang kakitangan kerajaan membuat laporan polis selepas tidak tahan dengan sikap suaminya sering cemburu buta dan panas baran.

Menurut pengadu, mereka baharu sahaja berkahwin tahun lepas tetapi perangai suaminya tiba-tiba berubah.

Katanya, mereka sering bergaduh apabila suaminya ternampak dia bercakap dengan rakan sekerja lelaki di tempat kerja malah menuduhnya mempunyai hubungan sulit.

Paling menyedihkan, dia akan dipukul suaminya jika pertengkaran mereka berlarutan.

Pada minggu lepas, pengadu pergi mengikuti satu kursus namun selepas pulang ke rumah suaminya naik hantu dan mendakwa dia  berfoya-foya dengan lelaki.

Kali ini pertengkaran mereka semakin teruk, sehingga si suami bertindak mencekik isterinya.

Ibu pengadu yang kebetulan melihat mereka bergelut telah meleraikan mereka.

Pengadu tidak dapat menahan sikap suaminya yang bertindak melampau batas mengambil keputusan untuk membuat laporan polis pagi semalam.

Bertindak atas maklumat, polis telah memanggil suami pengadu yang juga seorang kakitangan kerajaan tampil ke balai untuk diambil keterangan semalam.

Sementara itu dalam kes  berasingan, seorang lelaki pekerja restoran makanan segera di Permai dekat sini membuat laporan polis selepas rakan sekerja yang meminjam motosikalnya gagal mengembali kenderaan itu kepadanya.

Insiden ini berlaku pada jam 11 pagi Jumaat lepas apabila pengadu meminjamkan motosikalnya kepada seorang rakan sekerja yang baharu bekerja di restoran yang sama selama seminggu.

Menurut pengadu, rakan sekerja juga berumur 20-an memberitahu bahawa dia hanya meminjam motosikalnya untuk mengambil gaji di tempat kerja sebelum ini.

Mula-mula pengadu keberatan untuk meminjam, namun memikirkan mereka rakan sekerja, dia meminjamkan motosikal selepas  rakan sekerjanya berjanji memulangnya dalam masa singkat.

Namun setelah menunggu sehingga jam 9.30 malam, rakan sekerja pengadu tidak juga muncul kembali di tempat kerja.

Cubaan menghubungi telefon bimbit rakan sekerjanya berkenaan juga gagal.

Akhirnya, pengadu bertindak membuat laporan polis pada 9 pagi semalam selepas telefon rakan sekerjanya hanya kedengaran peti suara sahaja.