Kepentingan pemilik saham dijaga

0

PNB syarikat terbaik mengendalikan modal, beri dividen setiap tahun

Oleh Borhaniza Ali Basah //

SIBU: Permodalan Nasional Berhad (PNB) boleh dianggap sebagai salah satu syarikat terbesar di dunia terbaik dalam mengendalikan modal ataupun unit saham.

Menteri Muda Perumahan dan Menteri Muda Pembangunan Sosial (Pembangunan Belia) Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, dalam keadaan ekonomi baik dan merundum, PNB setiap tahun tidak lupa kepada pencarum atau mereka yang membeli saham.

“Tiap-tiap tahun PNB akan memberi dividen kepada pencarum saham mereka. Inilah satu-satu syarikat yang boleh kita harap dan menjaga diri dan keluarga kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sekali gus merasmikan program Sime Darby Rhino Walk anjuran PNB yang ditaja oleh Yayasan Sime Darby dengan kerjasama Pejabat Residen Sibu dan Pejabat Daerah Sibu di pekarangan Kompleks Islam Sibu pagi semalam.

Pelepasan acara pada jam 7 pagi itu yang dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka Dr Annuar Rapa’ee mendapat penyertaan lebih 10,000 peserta daripada penduduk Sibu dan sekitarnya dari pelbagai peringkat umur.

Acara ini adalah kali keempat dianjurkan Yayasan Sime Darby bertujuan memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai badak sumbu Sumatera dan haiwan liar lain yang semakin terancam, di samping mempromosi sambutan Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2015 kepada masyarakat setempat.

Selain itu, kata Abdul Karim, program pada pagi tersebut menunjukkan masyarakat di Sarawak sentiasa hidup dalam keadaan harmoni dan aman kerana boleh bersama-sama meraikan program tersebut walaupun berbeza dari segi bangsa.

“Inilah yang memberi keunikan kepada bandar ini dan bandar lain di Sarawak. Ini menunjukkan bahawa kita dapat tinggal aman damai dalam satu bandar dan dapat merai program seperti ini secara bersama-sama,” ujarnya.

Terdahulu dalam ucapannya, Ahli Majlis Tertinggi Yayasan Sime Darby Tan Sri Datuk Dr Wan Mohd Zahid Mohd Noordin menggesa masyarakat umumnya agar bersama-sama pihaknya untuk memelihara spesies badak sumbu sumatera yang hampir pupus.

Menurutnya, secara global, kurang daripada 100 ekor badak sumbu yang masih terpelihara dan tiga daripadanya berada di Sabah dan Sarawak.

“Kita semua dalam satu ekosistem, jika salah satu darinya telah lenyap seperti badak sumbu ini, ianya akan memudaratkan keseimbangan alam,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman dalam ucapan alu-aluannya berkata, hasrat program ini adalah mendidik orang ramai mengenai isu pemuliharaan ‘Rhino’ ataupun badak sumbu Sumatera, iaitu antara 12 spesies haiwan paling teruk diancam kepupusan.

Justeru belia berharap, timbul kesedaran dalam kalangan masyarakat untuk sama-sama memulihara serta melindungi nasib spesies unik ini.

Turut hadir pada program itu semalam ialah Timbalan Presiden Pengurusan Aset PNB Datuk Idris Kechot, Timbalan Presiden Korporat dan Pembangunan Modal Insan PNB Datin Paduka Jamiah Abdul Hamid, Pemangku Residen Bahagian Sibu Dr Zufar Yadi Brendan Abdullah dan Timbalan Residen Bahagian Sibu Sapiah Daud.