JKM buka peluang 1,841 sukarelawan ‘Home Help’ berkhidmat ikut kepakaran

0

KUALA TERENGGANU: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) membuka peluang kepada 1,841 sukarelawan program khidmat bantu di rumah di seluruh negara untuk memberi khidmat mengikut kepakaran mereka dengan skop yang lebih luas, kata Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat Datuk Zulkiply Ramli.

Ketika ini khidmat sukarelawan program itu hanya terhad untuk membantu pelanggan JKM terdiri daripada orang kelainan upaya (OKU) dan warga emas untuk menguruskan rumah mereka serta keperluan harian yang lain.

“Ada antara sukarelawan kita ini pandai menjahit, memasak dan berkebolehan dalam bidang agama, jadi kita mahu kepakaran sukarelawan ini dimanfaat untuk masyarakat.

“Buat permulaan, mungkin khidmat mereka ini diperlukan di mana-mana pusat kebajikan JKM di seluruh negara sebagai tenaga pengajar tambahan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Home Help peringkat Zon Timur di sini semalam.

Turut hadir Pengarah Bahagian Komuniti JKM Zulkifli Ismail dan Pengarah JKM Terengganu Mohd Nasir Suratman.

Zulkiply berkata program khidmat bantu di rumah itu telah memberi impak yang sangat besar terhadap aktiviti kesukarelawanan dalam kalangan rakyat Malaysia dan mendapat sambutan yang sangat baik.

“Pada tahun 2014, program ini telah berjaya melepasi sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) apabila seramai 2,228 pelanggan JKM telah mendapat manfaat daripada program ini berbanding sasaran awal 1,500 orang.

“Program ini juga akan mewakili Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat untuk menyertai Anugerah Inovasi Perdana Menteri 2015 dan kita akan terus melakukan penambahbaikan terhadap program ini pada masa akan datang,” katanya. — Bernama