JKM cadang barangan dirampas JKDM, KPDNKK disalurkan kepada golongan memerlukan

0

KUALA TERENGGANU: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mencadangkan agar barangan dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) disalurkan kepada JKM agar boleh dimanfaatkan golongan berkeperluan.

Ketua pengarahnya Datuk Zulkiply Ramli berkata setakat ini pihaknya masih lagi dalam perundingan awal bersama JKDM dan KPDNKK untuk membincangkan perkara itu.

“Tidak semestinya beri barangan yang dirampas itu kepada JKM, mungkin agensi terbabit boleh salurkan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berasaskan kebajikan seperti yang dibuat sebuah NGO di Perlis apabila NGO tersebut dengan kerjasama JKDM dan KPDNKK memberikannya kepada golongan miskin di negeri itu.

“Dengan berbuat sedemikian, hasil rampasan tersebut tidak akan dibazirkan dan mampu meringankan beban masyarakat yang memerlukan bantuan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar ‘Home Help’ Peringkat Zon Timur di sini semalam.

Seminar anjuran Bahagian Komuniti JKM dengan kerjasama JKM Terengganu ini disertai 400 sukarelawan dari Terengganu, Kelantan dan Pahang merupakan program pertama yang diadakan di zon Pantai Timur.

Program Home Help ini bertujuan untuk memberi khidmat sokongan kepada warga emas dan orang kelainan upaya (OKU), terutama yang tinggal bersendirian dengan membantu mereka melakukan kerja yang tidak mampu diuruskan oleh mereka.

Seramai 188 orang sukarelawan berdaftar dengan JKM Negeri Terengganu yang memberikan perkhidmatan kepada 605 warga emas dan OKU di bawah program tersebut.

Setakat ini, JKM memberi peruntukan RM23 juta untuk disalurkan kepada penerima bantuan setiap tahun. — Bernama