Kini Stadium Negeri mudah ditawan

3

MELEDAK GOL: Griffiths meraikan gol jaringannya ketika menentang ATM yang berkesudahan seri 1-1 di Stadium Negeri Kuching malam kelmarin.

Sarawak gagal meraih tiga mata penuh selepas terikat 1-1 dengan ATM pada aksi Liga Super 2015

Oleh Mahathir Haroun //

KUCHING: Kegagalan meraih tiga mata penuh ketika menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Negeri di sini malam kelmarin meresahkan ketua jurulatih Sarawak, Robert Alberts.

Beliau berkata, anak-anak buahnya patut meraih tiga mata penuh ketika menentang ATM lebih-lebih lagi beraksi di gelanggang sendiri bagi mengukuhkan kedudukan da l am Liga Super musim ini.

Menurutnya, ketiadaan dua tonggak utama, Ramesh Lai dan Ivan Fatic turut merencatkan perancangannya kerana kedua-dua pemain terbabit merupakan watak penting dalam pasukan.

“Pada perlawanan ini, kita sepatutnya meraih tiga mata penuh namun kita hanya sekadar memperolehi satu mata sahaja.

“Ketiadaan dua pemain itu memberi kesan kepada pasukan Sarawak terutama di bahagian kiri dan tengah,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan di sini malam kelmarin.

Dalam perlawanan itu, Sarawak sekadar mencatatkan keputusan seri 1- 1 menentang ATM ketika beraksi di Stadium Negeri disaksikan hampir 15,000 penyokong setianya.

Pemain import dari Australia, Ryan Griffiths meletakkan Sarawak di hadapan apabila meledakkan jaringan pada minit ke-63.

Bagaimanapun, lima minit kemudian pasukan pelawat menyamakan kedudukan menerusi Jeery Nelson apabila berjaya menyempurnakan sepakan penalti.

Sementara itu, Alberts turut resah kerana dua perlawanan yang dihadapi pasukannya, pasukan pelawat dihadiahkan sepakan penalti.

“Dua penalti dalam dua perlawanan di tempat sendiri, perlu dilihat secara lebih terperinci,” ujarnya.

Beliau melahirkan keyakinan persembahan anak-anak buahnya akan berubah pada perlawanan seterusnya menentang Lions XII selepas kembalinya Ramesh dan Ivan yang digantung perlawanan.

“Perlawanan seterusnya sudah pasti berbeza dengan kehadiran Ramesh dan Ivan.

Kita perlu terus mengumpul mata pada perlawanan seterusnya untuk mengukuhkan kedudukan dalam liga,” jelasnya.