PNB cemerlang merancang kewangan pelabur

0

TERTARIK: Hamad Kama Piah (kanan) ketika melawat ruang pameran Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB).

Miliki rekod cemerlang sedarkan dan didik orang ramai terhadap pelaburan, perancangan kewangan

Oleh Florence Nervyn //

SIBU: Permodalan Nasional Berhad (PNB) sebagai pengurus aset terkemuka di Malaysia, membuktikan rekod prestasi cemerlang mewujudkan kesedaran serta  pendidikan kepada orang ramai terhadap pelaburan dan perancangan kewangan sejak enam tahun lepas.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata, PNB mencapai 200 bilion unit pelaburan sejak 2009 hingga kini.

“Pada tahun 2009, kita mencapai sasaran 100 bilion unit yang menjadi sasaran permulaan. Kita mencapai 200 bilion dalam tempoh kurang enam tahun sejak 2009.

“Kita mengumum pengagihan dividen 7.75 sen seunit untuk tahun kewangan berakhir 31 Mac 2015 bagi Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB2) baru-baru ini,” katanya.

Jelasnya, masyarakat melihat dari segi pendapatan agak baik dan kompetitif.

“Ini juga menjadi rangsangan kepada pelabur,” jelasnya ketika ditemui pemberita selepas Prapelancaran Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2015, semalam.

Beliau memberitahu, PNB menyasarkan 150,000 pengunjung untuk MSAM edisi ke-16 yang bermula 19 hingga 27 April di Dataran Bandar Sibu.

Sibu telah menjadi venue kedua MSAM di Sarawak selepas penganjurannya di Kuching pada 2010.

Hamad Kama Piah melahirkan rasa positif untuk mencapai sasaran dengan menjangka lebih ramai pengunjung sekitar kawasan Sibu.

“MSAM diperbaiki dari setahun ke setahun dengan menerap pendidikan kesedaran kepada orang ramai terutama dalam pengurusan kewangan dan konsep pelaburan.

“Uniknya penganjuran di Sibu, kita telah memperbanyak program interaktif untuk menarik perhatian pengunjung datang berbincang tentang pelan pengurusan kewangan mereka,” ujarnya.

Kira-kira 260 syarikat mengambil bahagian pada MSAM yang berlangsung selama sembilan hari dan dibuka bermula jam 9 pagi hingga 9 malam.

Setakat 31 Januari 2015, Sarawak merupakan negeri ketiga tertinggi dengan pelaburan 20.7 bilion unit dan 1.213 juta pelabur selepas negeri Selangor dan Kuala Lumpur.