KUALA NERUS: Program National Academic Decathlon 2015 (NAD 2015) yang julung kali diadakan di negara ini mampu melahirkan pelajar Malaysia yang cemerlang untuk mengharum nama negara dan setanding dengan negara lain di dunia.
Pengerusi NAD Tan Sri Prof Dr Ibrahim Shah Abu Shah berkata program itu memberi peluang kepada pelajar tingkatan satu hingga tingkatan enam, bukan sahaja mahir berdebat, tetapi juga berkebolehan dari segi pengucapan awam, kuiz, menulis esei dan ujian aneka pilihan.
“Program ini diwujudkan kerana memikirkan selama ini di peringkat universiti memang sudah wujud pasukan berdebat ini, tetapi persoalannya kita tidak melatih anak-anak pelajar kita di peringkat bawah.
“Sebab itu apabila kita buat NAD ini, ia membuka peluang kepada pelajar tingkatan satu hingga tingkatan enam melibatkan diri dalam program ini yang dipecahkan kepada dua bahagian iaitu senior dan junior,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penutup NAD Wilayah Timur yang disempurnakan Speaker Dewan Undangan Negeri Terengganu Datuk Mohd Zubir Embong di Univeristi Malaysia Terengganu (UMT) membabitkan 64 pasukan, iaitu 196 pelajar dari Kelantan, Terengganu dan Pahang. — Bernama