Speaker DUN diminta tolak usul bodoh pembangkang

0

Antara usul itu ialah tukar DUN kepada Parlimen, panggil Ketua Menteri S’wak sebagai Perdana Menteri Sarawak

Oleh Agnes Tugong //

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem meminta Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) menolak beberapa usul bodoh daripada pembangkang pada Persidangan DUN bermula Selasa ini.

Bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pra-Persidangan DUN  semalam, Adenan berkata  antara usul yang disifatkannya sebagai bodoh ialah menukar DUN kepada Parlimen dan memanggil Ketua Menteri Sarawak sebagai Perdana Menteri Sarawak.

 

“Selain dua usul di atas, kami juga meminta speaker menolak beberapa usul lain yang tidak relevan dengan bidang kuasa kerajaan negeri sebaliknya adalah dalam bidang kuasa kerajaan pusat.

“Bagi kami usul-usul bodoh yang dikemukakan ini hanyalah mainan politik mereka untuk tujuan publisiti mereka,” katanya sambil menambah, BN lebih daripada bersedia untuk menangkis serangan pembangkang pada Persidangan DUN kurang dua hari lagi.

Sementara itu mengulas lebih lanjut mengenai permohonan Ketua Menteri untuk menolak beberapa usul bodoh daripada pembangkang, Speaker DUN Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar berkata ia hanya boleh dilakukan ketika Persidangan DUN berlangsung nanti.

“Saya tidak mempunyai kuasa untuk menolak usul-usul ini di luar dewan melainkan satu usul daripada Fong Pau Teck (DAP-Pujut) yang mahu referendum bagi Sarawak,” ujar Asfia.

Dalam pada itu Asfia menjelaskan sebanyak tujuh usul diterima dengan satu daripadanya ditolak pada Persidangan DUN yang dijadual berlangsung bermula 21 hingga 29 April 2015.

Dua usul diterima daripada Chong Chieng Jen (DAP-Kota Sentosa) mengenai istilah Dayak dan Unified Examination Certificate (UEC), dua lagi daripada Fong Pau Teck (DAP-Pujut) yang mahu menukar DUN Sarawak sebagai Parlimen Sarawak dan Ketua Menteri Sarawak sebagai Perdana Menteri Sarawak dan satu usul daripada Baru Bian (PKR-Ba’Kelalan) berhubung undang-undang hudud.

Meyuarat kali ini katanya, juga akan menyaksikan tiga undang-undang akan dibentang iaitu Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2014), 2015, Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2015), 2015 dan Undang-Undang Perhutanan 2015.

Kedua-dua Undang-Undang Perbekalan Tambahan akan dibentangkan oleh Menteri Kewangan Kedua Dato Sri Wong Soon Koh manakala Undang-Undang Perhutanan akan dibentang oleh Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Sebanyak 335 soalan lisan dan bertulis diterima dengan 237 (jawapan lisan), 92 jawapan bertulis dan satu soalan ditolak daripada DAP-Kota Sentosa.