Taib dan Ragad kunjungi Sarawak Timber dan SMEs Expo 2015 di BCCK

0

TERTARIK: Tun Taib ditemani Awang Tengah dan Goh (kiri) melihat pameran yang disediakan di gerai pameran Pusaka KTS Forests Plantation Sdn Bhd semalam.

KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud bersama isterinya Toh Puan Datuk Seri Ragad Kurdi Taib mengunjungi Sarawak Timber dan SMEs Expo 2015 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).

Kehadiran Tun Taib bersama isteri disambut meriah Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan bersama barisan menteri muda kabinet dan tetamu kehormat lain.

Ekspo yang berlangsung selama empat hari mulai 17 hingga 20 April 2015, bertemakan ‘Towards Sustainable Industries’ mempamerkan pelbagai produk berkaitan kayu dan bukan kayu keluaran tempatan termasuk pempamer antarabangsa.

Berikutan kejayaan ekspo pada 2013, tahun ini ekspo ini dianjurkan dengan skala lebih besar dengan lebih daripada 400 ruang pameran dibuka kepada pempamer tempatan dan antarabangsa.

Antara pempamer antarabangsa yang menyertai pameran kali ini ialah peserta dari Korea Utara, Vietnam, India, China dan Kalimantan Barat, Indonesia termasuk Sabah dan Semenanjung Malaysia.

Semasa kunjungan itu, Tun Taib sempat singgah di gerai pameran Pusaka KTS Forests Plantation Sdn Bhd (PKTS) yang telah menjalinkan kerjasama selama 17 tahun bersama Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) dan KTS Holdings Sdn Bhd.

Beliau diberi penerangan oleh Penolong Pengurus PKTS Colin Goh tentang program yang dilaksanakan oleh syarikat tersebut berkaitan industri perkayuan.

Hadir sama pada kunjungan itu semalam, Menteri Muda Pembangunan Perindustrian (Pelaburan dan Promosi) Datuk Julaihi Narawi, Menteri Muda Pembangunan Perindustrian Datuk Peter Nansian Ngusie dan Menteri Muda Perancangan Sumber Datuk Mohd Naroden Majais.