Kapal tanpa nakhoda bawa balak haram ditahan

0

DITAHAN: Shahref menunjukkan kapal yang ditahan di Muara Tebas.

KUCHING: Cubaan sebuah kapal yang membawa muatan kayu balak disyaki haram ke sebuah kilang papan di sini berjaya dipatahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) pada Sabtu lalu.

Menurut Pengarah Operasi Daerah Maritim Kuching Komander Maritim Shahref Steve McQueen Abdullah, kapal dari Tanjung Manis itu ditahan sekitar jam 3.30 petang di Muara Tebas.

“Hasil pemeriksaan lanjut dilakukan, kapal itu mempunyai enam orang kru dengan muatan kayu balak dianggarkan bernilai RM164,309 yang disyaki haram dan telah melakukan kesalahan beroperasi tanpa nakhoda,” katanya pada sidang media di Jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin (KOMTAS) di Jalan Bako di sini, semalam.

Shahref menjelaskan, kesalahan beroperasi tanpa nakhoda melanggar Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu pelanggaran Kaedah 7(1)(c) Kaedah-Kaedah Perkapalan 1999.

Enam kru yang ditangkap merangkumi tiga warga Mynmar, seorang warga Indonesia dan dua orang tempatan.

Kapal dan kru telah ditahan dan dibawa ke Jeti KOMTAS dan kayu balak tersebut akan diserahkan kepada Jabatan Hutan Sarawak untuk tindakan lanjut.

Beliau menegaskan, operasi membanteras pembalakan haram di seluruh Sarawak akan diteruskan untuk menyahut seruan kerajaan negeri secara habis-habsian.

“Sehubungan itu, pihak APMM juga meminta semua pengusaha bot atau kapal supaya mematuhi undang-undang sedia ada kerana kegagalan memastikan nakhoda mengemudikan kapal semasa belayar boleh membahayakan keselamatan komuniti maritim yang lain,” katanya.