Sindiket dadah tumpas, syabu RM28,000 dirampas

0

LUMPUH: Gan menunjukkan bungkusan dadah dirampas hasil serbuan di sebuah rumah di Quadruplex, Bandar Baharu Permyjaya, di Miri semalam.

MIRI: Polis Miri berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah di Miri dengan penangkapan tiga lelaki dan merampas 119.80 gram dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM28,000.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Gan Tian Kee berkata tangkapan dan rampasan itu dibuat hasil serbuan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Miri di sebuah rumah, Lorong 5, Quadruplex Bandar Baharu Permyjaya di sini.

“Selepas melakukan beberapa intipan, polis menyerbu rumah terbabit dan menahan ketiga-tiga suspek untuk tujuan pemeriksaan kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah.

“Hasil pemeriksaan, kami menjumpai dadah disimpan dalam dua beg berasingan. Dadah tersebut kemudian dirampas untuk dijadikan barang kes,” katanya pada sidang media di sini pagi semalam.

Hadir sama Ketua BSJND ASP Mohd Hurriyatulfikri Sairin Karno, Inspektor Wikkram Sandra, Inspektor Shahibul Najib Kamaruddin dan Sub-Inspektor Bakar Drahman.

Menyentuh lanjut tentang serbuan itu, Gan berkata sekitar jam 11.30 pagi, pada 19 April lalu sepasukan polis diketuai Inspektor Wikkram menyerbu rumah terbabit di Lorong 5, Quadruplex Bandar Baharu Permyjaya di sini.

Dalam serbuan itu, polis menahan tiga lelaki masing-masing berusia 18, 20 dan 27 tahun berada dalam rumah berkenaan untuk tujuan pemeriksaan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah.

Hasil pemeriksaan di ruang tamu, polis menjumpai sebuah beg berwarna merah berisi satu peket plastik lutsinar mengandungi ketulan kristal dipercayai syabu dengan anggaran berat 1.10 gram.

“Manakala pemeriksaan di dalam bilik milik suspek kedua dan ketiga, polis telah menjumpai satu beg plastik hitam yang mengandungi balutan plastik hitam berisi empat peket plastik lut sinar masing-masing berisi ketulan kristal dipercayai syabu dengan anggaran berat 118.70 gram,” katanya.

Berikutan itu, ketiga-tiga suspek dibawa ke BSJND Miri untuk menjalani ujian air kencing dan hasilnya mendapati air kencing dua daripada suspek terbabit menunjukkan kesan positif dadah jenis amphetamine.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 12 (2) dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Berdasarkan jumlah dadah dirampas, polis percaya bekalan tersebut adalah untuk pasaran tempatan,” katanya sambil memberitahu ketiga-tiga suspek adalah rakan dan tinggal di rumah tersebut.