Taktik licik Suluk

3

Ubah modus operandi dengan tinggal di perumahan tetapi berjaya dikesan pihak berkuasa

DITAHAN: Sebahagian warga Suluk dari Filipina ditahan di sebuah rumah teres dua tingkat di Pujut 1 dalam operasi bersepadu semalam.

MIRI: Seramai 66 pendatang asing dari kawasan selatan Filipina yang tinggal dan bersembunyi di dua rumah teres dua tingkat di Pujut 1 di sini,  ditangkap pihak berkuasa dalam satu operasi bersepadu membanteras pendatang asing tanpa izin (PATI) di sini jam 1 pagi semalam.

Dalam satu lagi serbuan berasingan, pihak berkuasa menahan 15 PATI dari Indonesia di kawasan Pujut 6 di sini, pada jam 2 pagi.

Operasi bersepadu membanteras PATI dilancarkan sepanjang malam bermula jam 10 malam hingga 5.30 pagi semalam membabitkan pasukan polis, Jabatan Imigresen dan Pasukan Gerakan Am (PGA).

Ketua Penguat Kuasa Imigresen Sarawak Gary Belayong berkata, semua 66 PATI dari Filipina yang ditahan terdiri daripada 55 suku kaum Suluk, tujuh Bajau dan empat Yakan.

Semua mereka ditahan di kedua-dua rumah teres dua tingkat berkenaan yang menjadi ‘pusat perlindungan’ mereka tinggal dan bersembunyi di situ ekoran operasi tegas dan berterusan dilakukan di sekitar bandar raya Miri sejak kebelakangan ini.

“Semua mereka datang dari Selatan Filipina dengan hampir semua mereka tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah ketika tangkapan dilakukan.

“Hasil tangkapan itu kami mendapati pendatang Suluk sudah menukar dan mengubah modus operandi mereka daripada tinggal di kawasan kampung dan setinggan beralih ke kawasan perumahan untuk mengelirukan pihak berkuasa,” katanya sambil memberitahu bahawa pihaknya menyiasat lanjut berhubung perkara itu termasuk mengenal pasti sama ada rumah berkenaan disewa beramai-ramai atau ada dalang di sebaliknya.

Menurut Gary, semua yang ditahan kemudian melalui pemeriksaan lanjut untuk mengenal pasti dan pengesahan dokumen perjalanan mereka.

Daripada jumlah yang ditahan (pendatang Filipina), 65 akan didakwa di bawah Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/1963 kerana memasuki negeri ini secara haram yang boleh membawa hukuman denda tidak melebihi 10,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali dan sebatan rotan tidak lebih enam kali jika didapati bersalah.

Sementara seorang lagi didakwa di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen yang boleh membawa hukuman denda tidak melebihi 10,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali jika didapati bersalah.

Dalam pada itu, Gary berkata lebih banyak operasi dilakukan bukan sahaja di bahagian ini malah di seluruh negeri bagi membanteras PATI.

Beliau mengingatkan orang awam supaya tidak bersubahat dengan pendatang asing ini sama ada melindungi mereka dengan menyewakan kediaman mahupun mengambil mereka bekerja secara haram.

“Orang awam yang didapati melakukan kesalahan tersebut boleh didakwa di bawah Seksyen 56(1)(c) Akta Imigresen,” tambah beliau.

Dalam operasi pertama bulan ini pada 17 April lalu di Luak Bay, seramai 14 pekerja asing warga Indonesia ditahan di bawah Seksyen 11(7)(a) Akta Imigresen kerana menyalahgunakan pas lawatan mereka manakala majikannya, warga tempatan ditahan di bawah Seksyen 55B akta yang sama.

Dalam operasi sama, namun di lokasi berasingan dua wanita warga Indonesia ditahan di bawah Seksyen 11(7)(a) Akta Imigresen manakala majikannya seorang wanita warga tempatan didakwa di bawah Seksyen 55B akta sama.

Semua mereka dihadapkan ke mahkamah didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara empat bulan dan satu sebatan rotan di Penjara Lambir.

Sementara itu, seramai 37 anggota penguat kuasa daripada ketiga-tiga jabatan tersebut terbabit dalam operasi berkenaan.

Turut serta ASP Zambri Alli dan Ketua Penguat Kuasa Imigresen Miri Lisa Baru.