Perlu peruntukan besar

0

Laporan oleh Saibi Gi, Jessica Jawing, Nick Fletcher, Hamimi Kassim//

PERBARISAN: Tun Taib (tengah) memeriksa Kawalan Kehormatan Utama yang diiringi Pegawai Pemerintah Perbarisan sempena Istiadat Pembukaan Penggal Kelima DUN Sarawak Ke-17 di dataran perbarisan DUN, semalam.

Sarawak harap dapat laksana lebih banyak program untuk tingkat hidup rakyat: Tun Taib

KUCHING: Sarawak masih memerlukan peruntukan besar di bawah rancangan pembangunan lima tahun bagi membolehkan lebih banyak program dan projek pembangunan dilaksana untuk meningkatkan taraf hidup serta kesejahteraan rakyat negeri ini.

Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata, tahun ini merupakan tahun terakhir bagi pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK10) dan berharap semua program serta projek pembangunan di bawah rancangan berkenaan disiapkan.

“Saya berharap kejayaan kerajaan melaksana dan menyiapkan RMK10 akan diteruskan pada RMK11, yang merupakan rancangan pembangunan lima tahun terakhir sebelum mencapai status negara maju menjelang tahun 2020.

“Dengan adanya hubungan baik antara kerajaan negeri dan persekutuan, lebih banyak peruntukan pembangunan disalurkan oleh kerajaan persekutuan untuk mempercepatkan pembangunan negeri ini di bawah RMK11,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada pembukaan Persidangan Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-17 yang dihadiri Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem serta Speaker DUN Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar di DUN di sini, semalam.

Tambah Tun Taib, di Sarawak hampir 44 peratus rakyat masih lagi tinggal di kawasan luar bandar dan pedalaman, mempunyai potensi ekonomi besar untuk dimajukan bagi faedah rakyat.

Namun katanya, kawasan luar bandar Sarawak dengan saiznya yang luas amat memerlukan infrastruktur asas, akses kepada perkhidmatan, pendidikan dan kesihatan.

“Kerajaan telah merancang pembangunan beberapa Pusat Pertumbuhan Desa (RGC) sebagai salah satu strategi untuk memperkasakan transformasi luar bandar.

“Dalam konteks ini, penyediaan kemudahan asas di setiap RGC amat diperlukan untuk menyokong aktiviti ekonomi dan meningkatkan kualiti hidup rakyat,” katanya.

Beliau berkata, ekonomi Sarawak telah berkembang pada kadar lima peratus pada tahun lepas dan berdasarkan petunjuk utama makroekonomi negeri, asas ekonomi masih kukuh serta mampu menangani ketidaktentuan ekonomi global.

Menurut Tun Taib, pencapaian yang menggalakkan itu adalah hasil daripada amalan perancangan ekonomi dan pengurusan kewangan negeri yang cekap.

Kerajaan negeri telah berjaya mempelbagaikan aktiviti ekonomi di mana sektor pembuatan serta perkhidmatan telah menyumbang 64 peratus kepada ekonomi negeri dan kedua-duanya mewujudkan 59 peratus peluang pekerjaan pada tahun lepas.

Mengulas mengenai pentadbiran setahun Adenan sebagai Ketua Menteri, Tun Taib berkata beliau yakin visi dan pengalaman Adenan akan dapat memastikan Sarawak terus membangun menjadi negeri lebih maju, makmur dan berpendapatan tinggi tahun 2020.

“Saya percaya kejayaan dan kesinambungan falsafah politik pembangunan yang diamalkan selama ini akan menjadi lebih mantap dengan adanya sokongan padu dan kerjasama erat daripada barisan kabinet negeri, perkhidmatan awam serta pelbagai lapisan masyarakat.

“Dengan adanya sokongan yang tidak berbelah bahagi akan memudahkan kerajaan melaksanakan agenda pembangunan yang telah dirancang demi kemakmuran negeri kita.

“Rakyat harus berbangga dengan kepimpinan beliau kerana wujudnya keakraban pentadbiran kerajaan dengan rakyat, melalui pendekatan ini banyak isu serta permasalahan rakyat diberi perhatian sewajarnya dan diambil tindakan dengan segera dan berkesan,” katanya.