Tingkat keselamatan kanak-kanak dalam kenderaan

0

Oleh Henrietta Liza//

 

UNTUK KESELAMATAN:Fatimah (empat kanan, tengah) menunjukkan cara-cara memasang tali pinggang keledar pada bayi yang ditempatkan di atas kerusi keselamatan tajaan Volkswagon semalam.Turut melihat adalah Wong (kanan) dan Ng (dua kanan) di pusat PPBS Jalan Sekama, Kuching.

KUCHING:Kementerian Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga mahu advokasi keselamatan tempat duduk kanak-kanak di dalam kenderaan diperluaskan kepada kalangan ibu bapa dan pengasuh di taska dan tadika.

Menterinya, Datuk Fatimah Abdullah mahu ia dijadikan tabiat kepada masyarakat di negara ini sebelum Undang-undang Sekatan Kanak-Kanak (Child Restraint Law) itu diusulkan ke kabinet.

“Kita jalankan advokasi supaya mereka faham sebelum kita meminta kerajaan Malaysia memperkenalkan undang-undang ini yang telah diguna pakai di Singapura, Filipina dan Kemboja,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Bengkel Kempen Tempat Duduk Keselamatan Kanak-Kanak (CPS) di sini semalam.

Persatuan Pengasuh Kanak-Kanak Berdaftar Sarawak (PPBS) juga mula dibuka secara rasmi semalam dengan usaha sama Persatuan Pengasuh Kanak-Kanak Berdaftar Malaysia (PPBM) dan Volkswagen dalam menjalankan kempen tersebut sejak 20 April lepas yang akan berakhir hari ini.

Kata Fatimah, Bengkel CPS itu yang dihadiri seramai 27 operator taska dan tadika akan menjadi nadi penggerak pertama agar perkara itu dikongsi dan dihebahkan kepada masyarakat umum.

Laporan dikeluarkan pihak MIROS pada 2013 menunjukkan kemalangan di jalan raya merupakan penyebab nombor satu kematian kanak-kanak di negara ini.

Di Malaysia sahaja sejumlah 8,031 orang atau 7.85 peratus jumlah kematian dilaporkan dalam Laporan Keselamatan Jalan Raya Dunia oleh WHO, pada April 2013.

“Seorang bayi bernama Mohd Fiffy meninggal dunia akibat tercampak keluar dari kereta pada 9 Jun 2014 akibat kecuaian bapanya sendiri.

“Malahan, Sistem Sekatan Kanak-Kanak adalah sukatan paling penting untuk mencegah kemalangan di jalan raya dan ia termasuk mengenakan tali pinggang keledar dan topi keledar kepada kanak-kanak.

“Daripada perspektif itu, Sistem Sekatan Kanak-Kanak adalah bahagian penting untuk melindungi anak kita mengikut usia dan berat mereka.

“Tempat duduk keselamatan kanak-kanak mengurangkan risiko kemalangan bayi kepada 70 peratus dan 54 peratus bagi kanak-kanak berumur satu hingga empat tahun,” katanya menjelaskan.

Tambahan pula, penggunaan kerusi keselamatan terbukti mengurangkan 59 peratus kemalangan bagi kanak-kanak berusia empat hingga tujuh tahun.

Manakala topi keledar untuk kanak-kanak membantu mengelak 90 peratus risiko kemalangan di bahagian kepala yang mana tanpa mengenakannya akan menyebabkan 40 peratus risiko kematian sewaktu kemalangan berlaku.

Justeru beliau mengumumkan geran berjumlah RM5,000 untuk diberi kepada PPBS dalam menjalankan aktiviti.

Turut hadir Presiden PPBM Datin Wong Poi Hong dan Presiden PPBS Ng Lee Boon.