Kesan ‘love bite’ bongkar rahsia

1

SERIAN: Gara-gara memiliki kesan ‘love bite’ di leher membuatkan seorang pelajar tingkatan dua sebuah sekolah menengah di sini diheret ke balai polis selepas dia mengaku dirogol teman lelakinya.

Insiden itu hanya disedari oleh keluarga gadis berusia 14 tahun terbabit yang baharu tiba di asrama sekolahnya pada malam Isnin lepas selepas dua hari menghilangkan diri.

Difahamkan, bapa gadis terbabit segera ke sekolah berkenaan dan mula mengesyaki anaknya telah dirogol selepas melihat beberapa kesan kemerah-merahan pada leher mangsa.

“Selepas berkali-kali disoal oleh bapanya, gadis itu mengaku mengikut teman lelakinya pulang sejak 18 April lalu dan telah melakukan hubungan seks.

“Mendengar penjelasan tersebut, bapa mangsa terus membawanya membuat laporan polis kerana risau akan terjadi perkara yang tidak diingini pada masa akan datang,” kata sumber.

Ketua Polis Daerah, DSP Chung Aik Peng yang mengesahkan kejadian tersebut memberitahu pihaknya telah menahan seorang lelaki berusia 21 tahun dipercayai teman lelaki mangsa untuk siasatan lanjut.

“Suspek yang tidak memiliki pekerjaan tetap telah ditahan di rumahnya di Kampung Lintang Baru dan hasil siasatan awal, suspek mengaku menjalinkan hubungan dengan mangsa sejak dua bulan lalu.

“Suspek akan ditahan reman bagi membantu siasatan,” jelas Chung.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan atas kesalahan rogol.