Pasangan kekasih disyaki terlibat dadah dicekup

0

MIRI: Sepasang kekasih berjaya dicekup polis petang kelmarin kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah.

Tangkapan ke atas kedua-dua suspek yang berusia 34 dan 38 tahun telah dibuat hasil serbuan di sebuah bilik sewa di Jalan Kwangtung di sini.

Berikutan tangkapan itu, mereka dibawa ke pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Miri untuk tindakan lanjut.

Menurut sumber, bertindak atas maklumat diterima, sepasukan polis BSJND Miri diketuai Sub-Inspektor Bakar Drahman membuat serbuan ke sebuah bilik sewa tidak bernombor terletak di tingkat tiga sebuah bangunan di Jalan Kwangtung di sini.

Dalam serbuan dilakukan sekitar jam 2 petang itu, polis telah menahan seorang lelaki yang bekerja sebagai pengumpul besi buruk dan seorang wanita untuk tujuan pemeriksaan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah.

Semasa pemeriksaan dilakukan, polis tidak menjumpai apa-apa yang menyalahi undang-undang.

Sehubungan itu, mereka telah dibawa ke pejabat BSJND Miri untuk menjalani ujian air kencing dan hasil kedua-dua ujian menunjukkan kesan positif dadah jenis Amphetamine.