Wanita terbunuh, kereta bertembung lori

0

REMUK: Keadaan kereta mangsa selepas kemalangan tersebut.

KUCHING: Seorang wanita terbunuh selepas kereta yang dinaikinya bersama ibu serta anak saudaranya bertembung dengan sebuah lori di Jalan Kampung Endap, Siburan dekat sini semalam.

Mangsa, Salbiah Sulaiman berusia 41 tahun berasal dari Kampung Tanah Putih, Kota Samarahan.

Difahamkan, semasa kejadian mereka dalam perjalanan pulang dari gerai menjual makanan milik keluarganya di pekan Siburan sekitar jam 1.45 petang.

Bagaimanapun, kereta Perodua Kancil yang dipandu mangsa bertembung dengan lori dari arah bertentangan sehingga menyebabkan kereta mangsa terbabas ke tepi jalan berkenaan.

“Ibu mangsa yang berusia 58 tahun bersama anak saudaranya telah dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) oleh orang awam, manakala mangsa terpaksa dikeluarkan dari dalam kereta oleh pihak bomba dan penyelamat.

“Mangsa yang parah bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh anggota paramedik Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) yang tiba di lokasi kejadian beberapa minit selepas itu,” kata sumber.

MENYAYAT HATI: Suami mangsa (kanan) mengiringi mayat mangsa yang dihantar ke HUS.

Beberapa anggota dari cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan juga bergegas ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.

Mayat mangsa telah dihantar ke HUS untuk bedah siasat.

Beberapa penduduk kampung yang ditemui mendakwa banyak lori yang memasuki kawasan tersebut sering dipandu laju sekali gus amat berbahaya ekoran keadaan jalan yang sempit dan berselekoh.

“Mereka (pemandu lori) memang selalu laju, hari ini (semalam) sahaja ada perlahan sikit sebab ada kes macam ini,” katanya yang turut memberitahu lori tersebut mengangkut batu dari sebuah kuari berdekatan.