Alberts tarik nafas lega

0

Oleh Harry Ilias//

Kehadiran semula tiga tonggak utama mampu memantapkan Sarawak

KUCHING: Kehadiran semula tiga tonggak utama memberi kelegaan kepada Ketua Jurulatih Sarawak, Robert Alberts apabila skuad Ngap Sayot berdepan Lions XII pada saingan Liga Super 2015 di Stadium Jalan Besar, Singapura malam ini.

Alberts memberitahu bahawa Ivan Fatic, Ronny Harun dan Rames Lai mendapat lampu hijau untuk beraksi pada perlawanan di tempat lawan malam ini.

“Ivan dan Rames tamat penggantungan, manakala Ronny tampak pulih sepenuhnya daripada kecederaan.

“Kehadiran semula pemain- pemain tonggak itu mampu menguatkan peluang kita untuk mencatat kemenangan ke atas Lions XII nanti,” katanya ketika dihubungi semalam.

Bagaimanapun, sedikit kehampaan buat Alberts setelah pemain tengahnya, Mohd Shahrol Saperi tidak dapat diturunkan kerana mengalami kecederaan pada perlawanan menentang ATM, Sabtu lalu.

“Mohd Shahrol terpaksa diketepikan pada perlawanan ini akibat kecederaan.

Bagaimanapun, ketiadaannya tidak merencatkan persiapan kita dan saya percaya pemainpemain lain mampu mengisi tugas yang ditinggalkan beliau,” tambahnya.

Mengulas mengenai peluang Sarawak, Alberts percaya skuad bimbingannya mampu menjinakkan Lions XII meskipun menyedari skuad lawan berkelebihan beraksi di laman sendiri.

Malah, skuad kendalian bintang bola sepak antarabangsa, Fandi Ahmad itu kini bergelut untuk keluar daripada zon prestasi merudum sejak kebelakangan ini.

“Ini peluang terbaik bagi kita untuk mengutip mata.

Justeru, saya mahu semua pemain meningkatkan corak permainan dan tidak mensia- siakan sebarang peluang untuk menjaringkan gol.

“Paling penting barisan pertahanan jangan cuai kerana penyerang Lions XII pakar bermain di atas rumput tiruan dan ini memberi kelebihan kepada mereka,” kata Alberts.

Perlawanan kedua-dua pasukan bermula jam 7.45 malam ini.

Sarawak dijangka membariskan pemain seperti Joseph Kalang Tie, Ryan Griffiths, Billy Mehmet, Patrick Gerhardt, Shreen Tambi, Hairol Mokhtar, Ivan Fatic, Ashri Chuchu, Mohd Fadzley Abdul Rahim, Ronny Harun dan Rames Lai.