DUN LULUS RM780J UNTUK LUAR BANDAR

0

KUCHING: Sejumlah RM780,252,456 (lebih RM780) juta diperuntukkan bagi tujuan perbelanjaan pembangunan pada tahun ini selepas Anggaran Perbelanjaan Pembangunan Tambahan Pertama 2015 dilulus Dewan Undangan Negeri (DUN), semalam.

Peruntukan di bawah Rang Undang-Undang Perbekalan Perbelanjaan (2015), itu dibentang Menteri Kewangan Kedua Dato Sri Wong Soon Koh dan telah dilulus pada bacaan kali ketiga.

Wong berkata, jumlah itu bagi tujuan pelaksanaan pembangunan dalam Anggaran Pembangunan Utama 2015.

Jelasnya, tambahan perbelanjaan itu membabitkan sejumlah RM649 juta untuk Kewangan Kerajaan Negeri, Utiliti Awam (RM24.8 juta), Peluasan dan Pampasan Tanah (RM8.7 juta), Pembangunan Luar Bandar (RM34.17 juta), Pembangunan Semula Kawasan Perumahan (RM59.9 juta) dan Bangunan Awam (RM3.5 juta).

Sementara itu, untuk Kewangan Kerajaan, kata Wong, jumlah RM649 juta itu diletak di bawah Setiausaha Kewangan Negeri termasuk kos melaksanakan Projek Kecil Luar Bandar (MRP).

“Bagi projek Kecil Luar Bandar (MRP) peruntukan dianggar RM655,900,00 namun memerlukan jumlah tambahan sebanyak RM250 juta.

“Tambahan sebanyak RM250 juta itu pula bagi menjayakan projek transformasi luar bandar kerana ini satu inisiatif kerajaan meningkat lagi usaha memajukan luar bandar seluruh negeri.

“Kerajaan memberi fokus lebih kepada pembangunan kawasan luar bandar dengan harapan mengurangkan jurang pembangunan bandar dan luar bandar.

“Ini sekali gus mengangkat kualiti hidup penduduk luar bandar supaya mampu bersaing dan setara bandar,” katanya.

Tambah ADUN Bawang Assan itu, peruntukan bajet sekarang tidak mencukupi bagi kerajaan untuk menjalankan pelbagai inisiatif dirancang.

Katanya, selain MRP yang diletak di bawah Kewangan Kerajaan, Tabung Bantuan Pembangunan Khas juga mempunyai peruntukan dalam anggaran RM500,000,000 dengan jumlah peruntukan tambahan diperlukan sebanyak RM250,000,000.

“Tambahan sebanyak RM250,000,000 itu diperlukan untuk melaksana program atau projek pembangunan dan sosial.

“Dan, ia tetap memberi tumpuan lebih kepada kawasan luar bandar bagi tujuan mempercepat lagi pembangunan desa di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata anggaran perbelanjaan pembangunan tambahan pertama 2015 yang dilulus itu akan diagih kepada pelbagai kementerian bagi menjayakan pelbagai program serta projek.