Royalti: PAS Sarawak sokong KM

0

Oleh Hamimi Kassim//

 

SOKONGAN: Adenan menerima nota sokongan dan cadangan daripada Adam semasa kunjungan hormat di pejabat Ketua Menteri di Aras 5, Dewan Undangan Negeri di sini, petang semalam.

KUCHING: PAS Sarawak semalam melahirkan sokongan penuh terhadap usaha dan hasrat Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem mengenai isu royalti minyak untuk negeri ini.

Selain itu, PAS Sarawak turut memberikan nota cadangan kepada kerajaan negeri bagi membawa usul Akta 750 atau Akta Wilayah Laut 2012 ke Dewan Rakyat yang secara sengaja telah digunakan untuk merampas pelantar benua/wilayah laut negeri-negeri dengan mengehadkannya hanya kepada tiga batu nautika.

Nota sokongan dan cadangan tersebut telah diserahkan semasa kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri di pejabatnya di Aras 5, Dewan Undangan Negeri di sini, petang semalam.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri Abdullah Saidol pada sidang media selepas kunjungan tersebut memberitahu kerajaan Barisan Nasional (BN) Sarawak menghargai sokongan diberikan itu.

“Bagi pihak kerajaan BN, kita berterima kasih terhadap sokongan PAS Sarawak terhadap sokongan royalti termasuk perkara-perkara lain kerana perjuangan Ketua Menteri belum lagi berakhir.

“Dalam pada itu, kita juga berkongsi maklumat dengan mereka (PAS) mengenai perkara lain yang kerajaan tuntut seperti peruntukan untuk modal insan, biasiswa, peluang, kontrak lebih kepada anak Sarawak dan CSR yang pelbagai serta penempatan lebih ramai lagi anak Sarawak di universiti, Petronas dan sebagainya,” katanya.

Justeru, Abdullah yang juga pengerusi BNBBC dan ADUN Semop berharap lebih banyak sokongan dalam perjuangan meraih lebih banyak lagi peruntukan bukan sahaja daripada Petronas, begitu juga daripada kerajaan persekutuan diterima terhadap Ketua Menteri.

Pada masa sama, Abdullah mendedahkan perjumpaan tersebut turut membincangkan beberapa isu sensitif seperti agama dan perkauman di negeri ini.

“Kita memohon kepada PAS, dalam isu agama seperti berdakwah, walau dalam apa agama sekalipun kita di Sarawak ini seharusnya lebih sensitif dalam perkara ini kerana kadang-kadang ia tidaklah mengenai agama sahaja, dan hanya kerana isu perkauman terpalit dengan isu agama.

“Keagamaan ini merupakan suatu isu yang melibatkan kepercayaan rohaniah dan kita sepatutnya menghormati kepercayaan antara satu sama lain.

“Jadi, itulah antara perkara yang kita rasa boleh hargai bersama, dijaga dan diharap sentimen di Semenanjung oleh PAS tidak dibawa ke negeri ini yang memiliki pelbagai kaum dan agama,” jelasnya.

Turut hadir Pesuruhjaya PAS Sarawak Adam Ahid, Setiausaha Dewan Pemuda PAS Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus, Ketua Pemuda PAS Sarawak Mohamad Arifiriazul Paijo, Ketua Wanita PAS Sarawak Jurina Mut dan rombongan.